Projek Lebuh raya Pan Borneo terbukti bukan dongengan

Projek Lebuh raya Pan Borneo terbukti bukan dongengan

KUCHING, Okt 8 (Bernama) – Kerja-kerja pembinaan sedang berjalan di Jalan Simpang Nyalau/Bakun sepanjang 43 kilometer yang merupakan fasa pertama projek Lebuh raya Pan Borneo bernilai RM15 bilion.

Fasa kedua pula membabitkan pembinaan jalan raya Teluk Melano/Sematan di Lundu sepanjang 33 kilometer.

Setiausaha tetap kepada Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi Sarawak Safri Zainuddin berkata tender bagi pembinaan Jalan Raya Telok Melano/Sematan sudah dianugerahkan kepada kontraktor terpilih.

“Jentolak pertama akan berada di sana bulan depan,” katanya semasa menjawab soalan peserta sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan Sarawak yang anjuran Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) di sini, hari ini.

“Ini membuktikan projek lebuh raya empat lorong Pan Borneo Sarawak yang menghubungkan negeri ini dengan Sabah bukan cerita dongeng seperti yang didakwa,” ujarnya.

Projek tersebut mula dicadangkan pada 1963 dan hanya diluluskan selepas lebih 50 tahun semasa di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ia dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri pada 31 Mac lalu semasa lawatan ke Bintulu. Pembinaan fasa pertama Jalan Simpang Nyalau/Bakun dijangka siap dalam tempoh 30 bulan.