Projek madu jangka jana RM300 juta

Projek madu jangka jana RM300 juta

KUALA LUMPUR, 30 Nov – BIMP EAGA Bioeconomy Development Holdings Sdn Bhd menjangka dapat menjana perolehan sebanyak RM300 juta daripada projek ladang ternakan lebah madu Borneo pada 2021.

Projek di bawah Program Pembangunan Komuniti Bioekonomi (BCDP) Sabah, dijadualkan bermula pada Februari 2017.

“Kami berharap dapat menjana lima juta kilogram madu mentah pada 2021, dan potensi perolehan sebanyak RM300 juta akan dijana daripada produk hiliran seperti kosmetik dan minuman,” kata Penasihat Eksekutif BIMP EAGA Bioeconomy, Yan Hashim, selepas pelancaran BCDP Sabah di sini, hari ini.

Yan berkata syarikat telah menandatangani perjanjian jual beli (S&P) bernilai RM30 juta dengan syarikat berpangkalan di Singapura, Xali Pte Ltd, bulan lepas bagi membekalkan 3,000 tan madu selama tiga tahun bermula 1 Disember 2016.

“Kami akan menjadi pembekal madu bagi Xali, yang akan mengeksportnya kepada pelanggannya di seluruh dunia,” katanya.

Datuk Seri Panglima Yahya Hussin (tiga, kiri) melihat lebih dekat sarang lebah pada gimik pelancaran ‘Bioeconomy Community Development Program in Sabah’ (BCDP) semasa majlis menandatangani Perjanjian, Pelancaran Projek Madu Lebah dan Pelancaran BCDP kelmarin. – Bernama
Datuk Seri Panglima Yahya Hussin (tiga, kiri) melihat lebih dekat sarang lebah pada gimik pelancaran ‘Bioeconomy Community Development Program in Sabah’ (BCDP) semasa majlis menandatangani Perjanjian, Pelancaran Projek Madu Lebah dan Pelancaran BCDP kelmarin. – Bernama

Sementara itu, timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin, berkata BIMP EAGA Bioeconomy merupakan syarikat pertama memeterai perjanjian S&P dengan syarikat luar.

“Kami berharap Sabah akan mempunyai sekurang-kurangnya 5,000 penternak lebah di bawah projek berkenaan menjelang 2021, dan saya difahamkan seorang penternak lebah boleh meraih pendapatan bulanan antara RM1,500 dan RM5,000, bergantung kepada jumlah sarang lebah yang dimiliki,” katanya.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah berkata demikian semasa merasmikan majlis tersebut. – Bernama