Projek Marina dijangka siap 2017

Projek Marina dijangka siap 2017

SINGAPURA, 29 Mei – Projek pembangunan bersepadu Marina One dan DUO yang dimiliki bersama sayap pelaburan strategik Malaysia, Khazanah Nasional Bhd dan syarikat pelaburan Singapura, Temasek Holdings Pte Ltd, berjalan lancar dan dijangka siap pada 2017.

Kedua-dua projek yang dilancarkan pada pertengahan 2012, melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak S$7 bilion bagi Marina One manakala GDV keseluruhan projek DUO pula adalah S$4 bilion.

“Kami gembira untuk memaklumkan bahawa kedua-dua projek iaitu Marina One dan DUO berjalan mengikut jadual dan dijangka siap pada 2017,” kata Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pemaju projek M+S Pte Ltd, Kemmy Tan.

Beliau berkata demikian kepada sekumpulan wartawan Malaysia yang menyertai Program Wartawan Malaysia ke-12 anjuran Kementerian Komunikasi dan Maklumat Singapura.

Kumpulan wartawan Malaysia itu turut mendengar taklimat projek berkenaan yang disampaikan oleh Pengurus Pemasaran Sunrise MS Pte Ltd, Jonathan Teoh dan Ketua Komunikasi Pemasaran, Lester Lim, selain mengunjungi galeri jualan Marina One yang terletak di Marina Bay atau lebih sinonim sebagai Times Square Singapura.

Mengulas kadar pembelian bagi unit komersial dan kediaman kedua-dua projek itu, Tan berkata, jualan DUO Residences ternyata positif dengan 95 peratus daripada 660 unitnya sudah dijual.

“Bagi DUO Residences, 70 peratus pembeli merupakan warga Singapura dan 14 peratus pula adalah rakyat Malaysia. Bakinya adalah pembeli antarabangsa termasuk dari China dan Indonesia,” katanya.

Tan berkata, jualan bagi menara pertama Marina One Residences juga amat positif dan mencatat 88 peratus setakat ini.

Ditanya mengenai prospek dua projek berkenaan yang berkeluasan kasar 3.67 juta kaki persegi dalam persekitaran ekonomi semasa yang mencabar, beliau berkata syarikat itu melihatnya dari sudut pasaran jangka panjang dan yakin dengan nilai asas aset berkenaan.

“Singapura terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab perniagaan global menerusi kehadiran banyak syarikat multinasional yang menjadikan negara ini lokasi ibu pejabat global mereka dan kita yakin cabaran sementara ini akan reda pada penggal pertengahan ini.

“Biarpun berdepan ketidaktentuan ekonomi global, syarikat-syarikat yang bijak akan memanfaatkan peluang yang ada. Ini memberi kelebihan kepada Marina One dan DUO sebagai dua projek utama terbaharu yang terletak di lokasi premium iaitu Marina Bay dan Bugis,” katanya.

Beliau turut berkongsi hasrat syarikat itu yang akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi setara dan berpandangan jauh mengenai kehadiran perniagaan mereka di republik itu.

“Kebanyakan bakal penyewa yang kami temui menyifatkan sekarang sebagai tempoh terbaik untuk menyelaras semula organisasi masing-masing bagi pertumbuhan masa depan iaitu dengan mengumpulkan lokasi operasi di bawah satu bumbung.

“Mereka turut berharap untuk berpindah dari ruang pejabat kecil, lama dan beberapa tingkat ke satu tingkat memandangkan kelebihan ruang lantai yang lebih besar dan cekap ditawarkan Marina One dan DUO,” katanya.

Apabila siap kelak, Marina One bakal muncul sebagai pembangunan bersepadu terbaharu di Marina Bay yang juga sebuah kawasan berprestij, kata Tan.

“Kali terakhir projek berskala sedemikian dibangunkan di sini, kira-kira lima tahun lepas.

“Marina One turut menawarkan antara rangkaian perhubungan terbaik di pusat kewangan terbaharu dengan menghubungkan empat daripada enam laluan MRT Singapura,” katanya.

Kelebihan lain projek itu adalah ciri plat lantai pejabat Gred A di Asia merangkumi dua Lantai Berketumpatan Tinggi yang setiap satunya berukuran 100,000 kaki persegi.

Marina One juga adalah satu-satunya pembangunan bersepadu di Singapura yang diapit oleh dua taman – Central Linear Park dan Marina Station Square serta pembangunan tunggal di republik itu yang dilengkapi laman biodiversiti iaitu Green Heart berkeluasan 65,000 kaki persegi.

Tan sebelum ini dipetik sebagai berkata, harga Marina One Residences adalah sekitar S$1,960 hingga S$3,100 bagi setiap kaki persegi yang menyamai harga ditawarkan di kawasan berkenaan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA