Projek mega siap 2019

Projek mega siap 2019

Oleh Danial Norjidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Feb – Negara Brunei Darussalam bakal mempunyai satu lagi projek mega yang dijangka siap dalam masa empat tahun lagi apabila Projek Kilang Penapisan dan Petrokimia Hengyi Industries bernilai berbilion dolar AS di Pulau Muara Besar (PMB) yang kini dalam fasa pembinaan, siap sepenuhnya pada akhir 2018, menurut seorang pegawai tertinggi dari syarikat itu.

Kilang itu dijangka beroperasi pada suku pertama 2019, kata Ketua Pegawai Eksekutif Hengyi Industries, Chen Lian Cai dalam temu bual bersama wartawan hari ini.

Projek Hengyi di PMB itu dimulakan dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) dan berkeluasan 260 hektar. Projek itu bernilai lebih daripada AS$4 bilion dan sebaik sahaja siap, ia dijangka mengeluarkan lapan juta tan produk sampingan setahun termasuklah aromatik, gasolin dan diesel, menyediakan cukup bahan api untuk permintaan tempatan.

“Seperti yang anda maklum, kami sudah pun memulakan projek itu dan ia berjalan seperti yang dijadualkan. Bagi perkembangan semasa, kami sudah pun memuktamadkan persediaan tapak,” kata Chen Lian.

Beliau turut menekankan bahawa PMB adalah sebuah pulau luas yang rendah berhampiran laut, menjadikan ia sebagai tanah sesuai untuk pembinaan bagi industri yang memakan banyak kos dan masa.

Chen Lian Cai ketika ditemu bual media, kelmarin.
Chen Lian Cai ketika ditemu bual media, kelmarin.

“Kami akan memulakan pembinaan jeti tidak lama lagi. Terdapat enam buah jeti kesemuanya dan kami menyasarkan ia siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini. Kami juga menyasarkan pembinaan cerucuk besi di tapak itu.

Menurutnya lagi, pembinaan tapak akan siap menjelang hujung tahun 2018, jadi kami akan memulakan kerja-kerja dan operasi kilang penapisan itu menjelang suku pertama 2019. Beliau menambah, Hengyi bekerja keras untuk mencapai sasaran, menambah bahawa mereka juga memerlukan ‘sokongan penuh berterusan daripada kerajaan.’

“Ini merupakan satu projek mega dan kami harus meneruskannya dengan lancar, berharap ia akan dapat menjadi kilang penapisan dan petrokimia berkelas dunia.”

Projek itu sebelumnya dilaporkan akan mencipta sebanyak 780 peluang pekerjaan. Ditanya sama ada jumlah itu akan kekal, Chen mengatakan, memandangkan terdapat beberapa penyelarasan dalam pembinaan, apa lagi kilang itu akan dibina oleh Hengyi, peluang pekerjaan bagi projek itu akan meningkat.

Manakala ketika menyentuh kesan kejatuhan harga minyak ke atas projek itu, menurut Chen, industri mereka di PMB sebenarnya adalah industri pertengahan – antara huluan dan hiliran – maka industri huluan seperti minyak mentah, tidak akan menjejaskan secara langsung keuntungan industri pertengahan petrokimia.

“Ini adalah pelaburan besar dan Hengyi memilih Brunei, dan saya pasti pelaburan ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak Brunei dan Hengyi,” jamin Chen. “Kami berharap dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi di Brunei.”