Projek nuklear China-Perancis ditangguh

Projek nuklear China-Perancis ditangguh

BEIJING, 10 Ogos – Sebuah bandar China berkata hari ini ia akan menghentikan persediaan untuk projek nuklear China-Perancis selepas beribu-ribu penduduk tempatan membantah pada hujung minggu, konsesi terbaru ekoran tunjuk perasaan alam sekitar.

Selepas bantahan beberapa hari oleh penduduk marah, kerajaan Lianyungang berkata di mikroblog bahawa ia akan ‘menggantung sementara’ pemilihan lokasi untuk kilang pemprosesan bahan api nuklear.

Beribu-ribu orang berkumpul di luar pejabat kerajaan pada hujung minggu, meminta projek tersebut dibatalkan berdasarkan sebab-sebab kesihatan, dan bertempur dengan polis, kata penduduk tempatan.

Kumpulan bahan api nuklear Perancis Areva pada 2012 bersetuju untuk bekerjasama dengan China National Nuclear Corp (CNNC) untuk membina sebuah kilang pemprosesan semula di China, tanpa menyatakan lokasi.

Penduduk tempatan berkata Lian-yungang, sebuah bandar pelabuhan di timur wilayah Jiangsu, adalah calon utama, disebabkan stesen tenaga nuklear baru sedang dibina oleh CNNC berhampiran.

Projek pemprosesan semula dilaporkan telah ditentang oleh AS, yang berkata ia akan menjejaskan usaha untuk mengehadkan penyebaran bahan yang boleh digunakan dalam senjata. Bantahan jalan ke atas projek besar telah menjadi kejadian tetap di China, ada kalanya menyebabkan pegawai mengalah.

Pada tahun lalu pegawai di rantau Inner Mongolia China berikrar akan menutup beberapa kilang kimia selepas polis dikatakan telah menggunakan gas pemedih mata untuk meleraikan bantahan alam sekitar. Bantahan besar di timur laut bandar Dalian pada 2011 mendorong pihak berkuasa mengumumkan penutupan satu lagi kilang kimia, walaupun ia jelasnya masih beroperasi dua tahun kemudian. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA