Projek padi perintis melibatkan belia

Projek padi perintis melibatkan belia

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Sept – Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama (KPSSU) dan Pusat Pembangunan Belia (PPB), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), hari ini, telah menandatangani perjanjian penyewaan tanah bagi menjalankan Projek Belia Berpadi, pada majlis yang berlangsung di Bilik Permai, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan.

Majlis penandatanganan berkenaan disaksikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Pembangunan Industri dan Keusahawanan) di KPSSU, Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid.

Turut hadir ialah para pegawai kanan dan kakitangan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dan PPB.

Menandatangani perjanjian bagi pihak Jabatan Pertanian dan Agrimakanan ialah Pengarah Pertanian dan Agrimakanan, Hajah Aidah binti Haji Mohd Hanifah dan disaksikan oleh Pemangku Timbalan Pengarah Pertanian, Hajah Khartini binti Haji Musa.

Sementara itu, PPB pula diwakili oleh Pemangku Penolong Pengarah (Ketua PPB), Awang Haswandi bin Haji Osman dan disaksikan oleh Pegawai Latihan, Awang Saiful Rizal bin Haji Ariffin.

Awang Haswandi dan Hajah Aidah bertukar dokumen selepas menandatangani perjanjian yang disaksikan oleh Haji Khairuddin.
Awang Haswandi dan Hajah Aidah bertukar dokumen selepas menandatangani perjanjian yang disaksikan oleh Haji Khairuddin.

Menurut kenyataan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, hasil perbincangan kedua-dua belah pihak telah bersetuju untuk menawarkan tapak seluas 18 hektar iaitu Lot 2G Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Bebuloh, Kampung Bebuloh, Daerah Brunei dan Muara.

Selain itu, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan juga akan menyediakan infrastruktur asas ladang, bantuan insentif seperti baja, racun, jentera, Skim Bantuan Harga Padi, khidmat nasihat dan latihan melalui Sekolah Perladangan Pengusaha Padi (RFFS).

Perjanjian tapak ini merupakan satu permulaan dan sebagai perintis bagi penglibatan belia-belia dalam industri pertanian secara komersial dan bersistematik di negara ini, khususnya dalam pengeluaran beras negara bagi menjamin sekuriti makanan.

Projek Belia Berpadi merupakan usaha sama di antara jabatan berkenaan dengan KKBS melalui PPB bagi menggalakkan lebih ramai belia menceburi bidang pengeluaran beras negara.

Pada masa yang sama, ia memberi peluang pekerjaan kepada belia-belia dan mampu mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia serta meningkatkan ekonomi keluarga sekali gus mengatasi masalah sosial.

Menurut kenyataan itu, dalam mempersiapkan diri belia-belia dengan pengetahuan mengenai kaedah dan pengurusan tanaman padi, mereka telah mengikuti program latihan yang bermula Januari hingga Mei lalu secara teori dan amali serta menggunakan pendekatan ‘discovery learning’.

Program latihan berkenaan melibatkan lapan bidang atau aspek utama yang boleh mempengaruhi hasil dan kualiti padi iaitu biji benih berkualiti, penyediaan sawah padi, penanaman serentak, penapakan tanaman, pengurusan nutrien, pengurusan air, pengurusan musuh perosak dan pengurusan penuaian.

Projek ini juga dihasratkan dapat melahirkan generasi muda usahawan tani sebagai pelapis untuk meneruskan perusahaan padi yang mapan di Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA