Projek Pan Borneo akan pacu pertumbuhan ekonomi, sosial lebih pantas

Projek Pan Borneo akan pacu pertumbuhan ekonomi, sosial lebih pantas

KOTA KINABALU, 14 April (Bernama) – Kerajaan negeri Sabah yakin dan optimis projek Lebuh raya Pan Borneo, yang akan dilaksanakan pada penghujung April ini, bakal merangsang serta memacu pertumbuhan ekonomi dan sosial dengan lebih pantas.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata pembangunan lebuh raya itu juga sekali gus akan memberi manfaat besar kepada pembangunan Sabah dan kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Pada Isnin, satu lagi sejarah tercatat dalam konteks kemajuan perhubungan dan infrastruktur Sabah menerusi pemeteraian perjanjian Projek Lebuh raya Pan Borneo antara kerajaan Pusat, kerajaan negeri dan Borneo Highway PDP Sdn Bhd.

Sehubungan itu, Musa merakamkan ucapan penghargaan kepada kerajaan Pusat atas komitmen tinggi dalam memastikan rakyat Sabah turut menikmati sistem jaringan jalan raya yang selamat, selesa dan efisien.

Musa berkata demikian ketika berucap pada majlis jamuan makan tengah hari sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-14 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Musa mengajak semua anggota DUN memanfaatkan persidangan itu dengan menghayati sepenuhnya inti pati ucapan dasar Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Musa berkata persidangan kali ini bukan sahaja penting malah amat signifikan kerana diadakan pada tahun pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Sehubungan itu, Musa berkata komitmen dan kerjasama padu antara pemimpin, penjawat awam dan rakyat di negeri ini amat diperlukan bagi memastikan kejayaan dasar kerajaan dan agenda pembangunan dalam RMK-11.