Projek Pan Borneo beri manfaat kepada usahawan

Projek Pan Borneo beri manfaat kepada usahawan

KUCHING, 8 Julai (Bernama) – Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) yakin projek Lebuh raya Pan Borneo akan memberi manfaat kepada komuniti peniaga bumiputera negeri ini.

Presidennya Datuk Abang Helmi Tan Sri Ikhwan dalam kenyataan, hari ini berkata, ia disebabkan syarikat milik Bumiputera, Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU) telah dilantik sebagai kontraktor utama berasaskan kepada rakan penyampai projek (PDP).

“Keseluruhan projek bernilai RM15 bilion akan dibiayai oleh Dana Infrastruktur Kerajaan Malaysia.

“Dengan komitmen kerajaan, kami yakin ia akan siap mengikut jadual iaitu dalam tempoh enam tahun,” kata beliau.

Tambah Abang Helmi lagi, pembiayaan bagi projek lebuh raya itu adalah sama dengan konsep bagi projek MRT di Kuala Lumpur.

“Dengan LBU sebagai peneraju, kami percaya kepentingan para kontraktor Bumiputera negeri ini dijaga dan kami menjangkakan banyak peluang untuk mereka.

“Terpulang kepada komuniti perniagaan untuk menggerakkan diri dan berusaha untuk memainkan peranan bermakna dalam pembinaan tersebut,” kata Abang Helmi.

Beliau berkata projek tunggal persekutuan terbesar untuk negeri ini akan menyumbang dengan ketara kepada pembangunan ekonomi luar bandar.

“Ia akan menjadi perangsang untuk membuka kawasan terbabit sepanjang lebuh raya yang memanjang di negeri ini.

“DUBS mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas keprihatinan yang lebih kepada Sarawak untuk menjayakan projek ini selepas janji-janji oleh pemimpin sebelum ini gagal ditunaikan.

DUBS juga mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem kerana berjaya mempengaruhi kerajaan persekutuan untuk mengutamakan projek ini,” ujar beliau lagi.

ARTIKEL YANG SAMA