Projek Pan Borneo mula Oktober ini

Projek Pan Borneo mula Oktober ini

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) – Projek kedua bagi fasa pertama pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak dijangka dimulakan pada Oktober ini, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Beliau berkata ia melibatkan laluan dari Telok Melano ke Sematan sepanjang 33km.

“Pada masa kini projek permulaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak telah dimulakan pada 31 Mac lepas iaitu melibatkan laluan dari persimpangan Nyabau ke persimpangan Bakun sepanjang 43km.

“Segmen laluan lain (untuk fasa pertama) akan dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun hadapan,” katanya semasa menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak itu melibatkan cadangan membina dan menaik taraf jalan sepanjang 936km yang dibuat secara dua fasa meliputi fasa pertama membabitkan laluan dari Telok Melano-Sematan-Kuching-Serian-Sibu-Bintulu-Miri.

Projek Lebuhraya Pan Borneo yang akan dimulakan Oktober ini. – Bernama
Projek Lebuhraya Pan Borneo yang akan dimulakan Oktober ini. – Bernama

Fasa kedua pula melibatkan laluan di bahagian Limbang dan Lawas yang dijangka akan dimulakan pada 2018.

Rosnah berkata keseluruhan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak akan mengambil tempoh lapan tahun untuk disiapkan, iaitu dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya pada awal tahun 2023.

Bagi projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah pula, beliau berkata ia kini di fasa rundingan dengan kerajaan negeri dan pihak-pihak lain yang berkepentingan.