Projek pembangunan ancam keaslian, keindahan Gunung Fansipan

Projek pembangunan ancam keaslian, keindahan Gunung Fansipan

SAPA – Kelihatan ramai pelancong mengambil peluang untuk merakamkan gambar di puncak Gunung Fansipan yang jelas memperlihatkan panorama yang cukup indah berlatarkan sawah padi di mana pada suatu ketika dahulu ia agak jarang menerima sebarang pelancong.

Pada kebiasaanya, perjalanan menuju ke puncak gunung itu mengambil masa sekurang-kurangnya dua hari namun kini sesuai dengan peredaran masa apabila perjalanan menggunakan pengangkutan kabel yang hanya mengambil masa selama 20 minit telah diperkenalkan.

Turut dikenali sebagai Tonkinese Alps, ia merupakan sebuah lokasi yang dijadikan sebagai Pangkalan Perancis yang berjaya menjadi satu destinasi pilihan popular di kalangan pelancong di Vietnam.

Infrastruktur seperti sistem perhubungan lebuh raya dan hotel penginapan di kawasan tersebut juga telah dipertingkatkan bagi memberikan keselesaan di kalangan para pelancong.

“Bagaimanapun projek pembangunan yang giat dilaksanakan di kawasan tersebut secara sedikit sebanyak juga boleh mengancam keindahan gunung tersebut,” jelas seorang pemandu pelancong, Giang Thi Lang yang berasal dari etnik Black Hmong.

Panorama dari Gunung Fansipan sangat indah dan dapat memberikan ketenangan. – AFP
Panorama dari Gunung Fansipan sangat indah dan dapat memberikan ketenangan. – AFP

Rasa kepuasan hati setentunya dapat dirasai tatkala berjaya menawan Gunung Fansipan. – AFP
Rasa kepuasan hati setentunya dapat dirasai tatkala berjaya menawan Gunung Fansipan. – AFP

Sejak kebelakangan ini, industri pelancongan di Vietnam juga semakin meningkat malah ia turut menjadi salah satu destinasi pilihan popular di Asia Tenggara di samping Thailand dan Chiang Mai.

Bagaimanapun, fenomena ini secara tidak langsung mendatangkan rasa kerisauan di kalangan penduduk tempatan apabila ada di antara pelancong yang menjamu selera di tempat suci seperti Gua Ha Long Bay dan golongan yang tidak bertanggungjawab dengan sewenang-wenangnya membuang sampah di kawasan pantai di bandar Phu Quoc yang secara tidak langsung boleh menyebabkan daripada berlakunya pencemaran.

Manakala projek pembinaan hotel juga sedang giat dilaksanakan di bandar Sapa apabila 4,000 buah bilik hotel telah ditempah pada tahun lalu berbanding sebanyak 2,500 buah bilik pada tahun 2010.

Jumlah pelancong juga semakin bertambah iaitu sehingga 700,000 pada tahun lalu dan pendapatan negara itu juga kian meningkat sebanyak tiga kali ganda berbanding pada tahun 2010.

Pengangkutan kabel yang mula dibukakan kepada orang awam dan pelancong pada bulan Februari lalu juga merupakan satu alternatif terbaik untuk menuju ke puncak pergunungan itu di mana ia dapat menghubungkan seramai 2,000 pengunjung pada setiap hari.

“Pada dasarnya, ia merupakan satu perkembangan yang cukup baik bagi Sapa apabila kemajuan tersebut mampu untuk menarik lebih ramai pelancong dan ia juga turut dapat membukakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan,” jelas Timbalan Pengarah di Pusat Maklumat Pelancongan, Sapa, Nguyen Van Manh.

Seorang wanita etnik Dao yang menjual cenderamata kepada para pelancong di hadapan projek pembangunan yang giat dilaksanakan di Sapa, Vietnam. – AFP
Seorang wanita etnik Dao yang menjual cenderamata kepada para pelancong di hadapan projek pembangunan yang giat dilaksanakan di Sapa, Vietnam. – AFP
Penduduk Sapa juga cukup peramah dan mudah disapa oleh para pelancong asing. – AFP
Penduduk Sapa juga cukup peramah dan mudah disapa oleh para pelancong asing. – AFP
Deretan kedai makan dan restoran telah dibina berdekatan dengan Gunung Fansipan bagi memudahkan para pengunjung. – AFP
Deretan kedai makan dan restoran telah dibina berdekatan dengan Gunung Fansipan bagi memudahkan para pengunjung. – AFP

“Sebelum kewujudan pengangkutan kabel itu, lebih ramai penduduk kampung itu yang bekerja selaku porter dan pemandu pelancong yang turut membantu pelancong dalam menuju perjalanan yang memakan tempoh selama dua hari menuju ke puncak Gunung Fansipan,” jelas seorang pemandu pelancong, Ma A Tro.

“Namun dengan kewujudan pengangkutan kabel ini nampaknya lebih ramai penduduk kampung yang memilih untuk bekerja di sektor binaan bagi menampung kehidupan mereka apabila khidmat pemandu pelancong semakin tidak diperlukan,” tambah Ma.

Pihak kerajaan telah melaksanakan projek pengangkutan kabel itu dengan alasan untuk meningkatkan jumlah pelancong di kawasan itu namun secara tidak langsung jumlah pengunjung yang memilih untuk mendaki gunung tersebut juga semakin berkurangan.

Sesetengah pelancong juga menyatakan bahawa keaslian Gunung Fansipan juga semakin kurang terpancar dengan kewujudan beberapa struktur konkrit, kedai cenderahati dan beberapa buah projek yang masih dalam proses pembinaan.

“Kembara pendakian gunung yang memiliki paras ketinggian 3,143 meter itu secara tradisi jelas cukup memuaskan walaupun ia mengambil masa selama dua hari berbanding menggunakan pengangkutan kabel,” jelas Duong Hoang Minh.

Pengangkutan kabel mula dibukakan kepada orang awam dan pelancong sejak Februari yang merupakan satu alternatif terbaik untuk menuju ke puncak pergunungan Fansipan. – AFP
Pengangkutan kabel mula dibukakan kepada orang awam dan pelancong sejak Februari yang merupakan satu alternatif terbaik untuk menuju ke puncak pergunungan Fansipan. – AFP

Dianggarkan pengangkutan kabel dapat menghubungkan seramai 2,000 pengunjung ke Gunung Fansipan setiap hari. – AFP
Dianggarkan pengangkutan kabel dapat menghubungkan seramai 2,000 pengunjung ke Gunung Fansipan setiap hari. – AFP

“Namun dengan kewujudan pengangkutan kabel itu setentunya boleh menjadi satu alternatif terbaik kepada individu yang tidak berupaya untuk mendaki gunung dan disamping aspek keselamatannya juga terjamin,” tambah beliau.

Kebanyakan pengusaha pelancongan juga telah bersetuju untuk terus mengembangmajukan projek pembangunan di kawasan tersebut termasuk jalan raya, sekolah, klinik dan sebagainya.

“Namun projek pembangunan ini juga harus dihadkan agar beberapa aspek keasliannya tetap terpelihara,” jelas Hubert de Murard, pengurus Topas Ecolodge yang terletak kira-kira 18 kilometer dari bandar Sapa.

Beliau memiliki kompleks rumah persinggahan yang merangkumi 25 buah banglo yang dibina bagi menyediakan tempat penginapan kepada para pelancong yang secara tidak langsung turut membukakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Justeru, beliau turut melahirkan rasa kebimbangan terhadap projek pembangunan yang kian aktif dilaksanakan di kawasan tersebut kerana bukan sahaja boleh menjejaskan keadaan alam sekitar yang wajar untuk dipelihara serta meningkatkan persaingan dengan perniagaan yang sedia ada. – AFP