Projek pembinaan BPIS rancak berjalan

Projek pembinaan BPIS rancak berjalan

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Jan – Pembinaan bangunan kekal Balai Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BPIS) yang terletak di Simpang 26, Jalan Pengiran Babu Raja, di ibu negara kini sedang giat dilaksanakan.

Pembinaan yang menelan belanja sebanyak $120 juta itu akan merealisasikan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei untuk menjadikannya sebagai pusat warisan ilmu Islam yang berterusan bagi mengumpul, menyelidik dan menyebarkan hasil penyelidikan untuk Islam, umat Islam, malah untuk kemanusiaan.

Apabila siap menjelang Mac 2017, BPIS akan menjadi satu lagi mercu tanda bagi Negara Brunei Darussalam, di samping menjadi gedung khazanah warisan ilmu sebagai tanda kepimpinan intelektualisme seorang raja mukmin.

Kerja-kerja pembinaan yang bermula pada 10 Januari 2015 dan dijangka siap pada 9 Februari 2017 itu merangkumi sembilan balai atau galeri yang mempamerkan 29 tema pameran.

BPIS yang ditubuhkan pada tahun 2001 ditempatkan sementara di aras bawah dan pertama Perpustakaan Islam Brunei, Bangunan Darulifta di bawah pentadbiran Jabatan Mufti Kerajaan sebelum dipindahkan ke bangunan kekalnya nanti.

Ilustrasi bangunan tersebut apabila siap nanti.
Ilustrasi bangunan tersebut apabila siap nanti.
Pembinaan bangunan kekal BPIS yang sedang giat dilaksanakan.
Pembinaan bangunan kekal BPIS yang sedang giat dilaksanakan.

Mempamerkan bahan-bahan koleksi peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia, BPIS di bangunan sementara ini mengandungi empat balai pameran iaitu Balai Pameran Mushaf (Al-Quran), Balai Pameran Berkala, Balai Pameran Tasbih dan Tongkat serta Balai Pameran Manuskrip Melayu, Arab, Parsi dan Urdu.

Selain itu, BPIS juga mempamerkan artifak-artifak lain seperti Kiswah Kaabah, peralatan astronomi, bahan fosil, replika pintu Kaabah dan lain-lain bahan koleksi yang mengandungi nilai keislaman.

Balai berkenaan kini memiliki lebih 1,000 koleksi manuskrip dan ratusan bahan artifak yang dilambangkan kepada ulama/pakar Islam dan institusi Islam yang bersejarah termasuk juga koleksi tongkat, tasbih dan tanda-tanda kebesaran Allah seperti fosil dan seumpamanya.

Antara bidang yang akan dikendalikan oleh BPIS ialah kajian dan penyelidikan ke atas bahan koleksi dan menyebarkan hasil kajian dan penyelidikan itu bagi kesejahteraan umat Islam dan manusia.

ARTIKEL YANG SAMA