Projek penyelidikan bantu PKS

Projek penyelidikan bantu PKS

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

Gambar oleh Izah Azahari

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Mei – Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Rangkaian Pendidikan Profesional Asia-Dana Integrasi Asean Jepun (APEN-JAIF) dari Institut Lanjutan Teknologi Perindustrian Jepun (AIIT), hari ini, telah bertukar-tukar Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menjalankan dua projek penyelidikan yang masing-masing dapat membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan serta menjadi kayu pengukur bagi menyemak semula kurikulum dalam sistem pendidikan tinggi di negara ini.

Dengan pertukaran persefahaman itu, UBD dan APEN-JAIF akan melaksanakan Projek Indeks Kebolehpercayaan untuk memahami lebih mendalam landskap PKS di Jepun dan beberapa buah negara lain.

Sementara itu, kesepakatan kedua ialah projek untuk menjalankan penyelidikan perbandingan ke atas sistem pendidikan yang akan membekalkan universiti dan institusi pengajian tinggi dengan alat pengukur yang penting dalam membuat semakan semula kurikulum pendidikan tinggi pada masa akan datang.

MoU itu diterima oleh Dekan Fakulti Teknologi Berintegrasi, UBD, Pengiran Dr. Mohd Iskandar bin Pengiran Haji Petra sementara AIIT diwakili oleh Pengerusi APEN, Dr. Shintaro Ishijima.

Hadir sama pada upacara yang berlangsung di Fakulti Teknologi Berintegrasi, UBD itu ialah Penolong Naib Canselor bagi Perhubungan Global, UBD, Dr. Joyce Tea Siew Yean dan Profesor Nobuo Sasaki dari AIIT.

Dr. Shintaro Ishijima bertukar memorandum bersama Dr. Joyce Tea Siew Yean.
Dr. Shintaro Ishijima bertukar memorandum bersama Dr. Joyce Tea Siew Yean.
Dr. Joyce Tea Siew Yean (tiga kanan) bersama Dr. Shintaro Ishijima dan Pengiran Dr. Mohd Iskandar sejurus selepas upacara pertukaran MoU.
Dr. Joyce Tea Siew Yean (tiga kanan) bersama Dr. Shintaro Ishijima dan Pengiran Dr. Mohd Iskandar sejurus selepas upacara pertukaran MoU.

Ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya, Pengiran Dr. Mohd Iskandar berkata, pertukaran memorandum tersebut akan digunakan sebagai satu saluran untuk meningkatkan lagi jaringan hubungan dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Di samping UBD, universiti dan institut pengajian tinggi di negara anggota ASEAN yang turut serta dalam projek APEN-JAIF itu termasuk Institut Teknologi Kemboja, Institut Teknologi Bandung, Indonesia, Universiti Nasional Laos, Universiti Teknologi Malaysia, YTU Myanmar, De La Salle Filipina, Universiti Teknologi Nanyang, Singapura, Universiti Nasional Vietnam.

“Di Universiti Brunei Darussalam, kami telah melakukan transformasi besar terhadap sistem pendidikan pada 2008, yang lebih meluas dan pelbagai disiplin.”

Beliau menjelaskan, kurikulum sistem pendidikan baru itu lebih memfokuskan kepada keusahawanan, kepemimpinan, inovasi dan kesedaran terhadap alam sekitar kepada para pelajar, yang dipanggil Kurikulum Generation Next (GenNEXT).

Menurutnya, GenNEXT mengutamakan kepentingan perniagaan serta sentiasa menilai semula kurikulum itu bagi menyesuaikannya dengan kehendak pihak yang berkepentingan.

“UBD sentiasa berusaha untuk memastikan kewujudannya relevan melalui usaha kerjasama dan perkongsian di kalangan universiti dan institusi pengajian tinggi luar negara,” ujarnya sebelum mengakhiri ucapan beliau.

Dr. Shintaro Ishijima dalam ucapan balasnya pula berkata, projek tersebut telah dilancarkan selepas mengadakan mesyuarat pada 2 Mei lalu di Universiti De La Salle, Filipina dan pertukaran memorandum itu menandakan pentingnya projek itu dilaksanakan.

APEN mempunyai misi untuk mempromosi industri PKS di Asia melalui pembangunan sumber manusia dan rangsangan semula industri tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA