Projek peranginan mewah dapat tentangan hebat

Projek peranginan mewah dapat tentangan hebat

BEIRUT – Pantai awam terakhir di persisiran laut Beirut yang mengalami pembangunan pesat mungkin tidak lama lagi akan dihimpit oleh pusat peranginan mewah, meningkatkan kebimbangan bahawa penduduk mungkin mendapati diri mereka tinggal di bandar tepi pantai tanpa menikmati suasana pantai.

Perjuangan bagi pantai Ramlet al-Baida telah tercetus antara aktivis masyarakat sivil dan pertubuhan politik yang sudah berakar umbi ke atas pengurusan tanah dan perkhidmatan awam di ibu negara Lubnan. Satu perbalahan baru berikutan krisis sampah tahun lepas, di mana timbunan sampah selama beberapa bulan, dan konflik mengenai sebuah taman setempat yang sebelum ini hanya dibuka sehari dalam seminggu.

Para aktivis berkata pembangunan Peranginan Eden Rock, yang diberikan lampu hijau oleh gabenor bandar pada bulan September, merupakan langkah pertama untuk mengubah pantai awam terakhir bandar itu menjadi sebuah lagi pusat peranginan mewah.

“Jika ini akan terjadi pada Beirut, maka di masa hadapan kami akan tinggal seperti di dalam sangkar,” kata penjaga zon berenang pantai tersebut.

“Hanya orang kaya sahaja yang akan dapat menghidu angin pantai, manakala mereka yang kurang berkemampuan pula terkurung di rumah.”

Seorang pekerja pengurusan membersihkan kawasan pantai Ramlet al-Baida. – AP
Seorang pekerja pengurusan membersihkan kawasan pantai Ramlet al-Baida. – AP
Orang ramai membuat tunjuk perasaan ke atas projek Peranginan Eden Rock di pantai Ramlet al-Baida, Beirut. – AP
Orang ramai membuat tunjuk perasaan ke atas projek Peranginan Eden Rock di pantai Ramlet al-Baida, Beirut. – AP

Projek itu telah menyalakan semula perbalahan mengenai siapa yang mempunyai hak ke atas pengecilan ruang-ruang hijau dan pantai bandar tersebut. Penduduk yang sudah lama tinggal di kawasan itu mengimbas kembali ketika masih menyusup masuk ke pantai itu melalui Karantina, Normandy, dan Rouche, sebelum bermulanya Perang Saudara 1975. Laluan-laluan itu sudah lama ditelan oleh pelabuhan yang dibesarkan, peranginan dan restoran-restoran mahal.

“Di mana kami hendak bersantai?” kata seorang penjawat awam, Samer Ballout, 35, yang mencari ketenangan di pantai tersebut.

“Saya telah berenang dan bermain di sini sejak saya masih kecil.”

Pada bulan Mei, satu pergerakan yang telah membuat kempen bagi melindungi platform kemudahan awam bandar tersebut telah mengejutkan pertubuhan politik dengan berjaya mendapatkan 40 peratus undian dalam pilihan raya bandaran.

Pertubuhan Beirut Madinati tidak memenangi sebarang kerusi dalam majlis bandaran oleh sebab formula pemenang pilhan raya monopoli semua kerusi, tetapi mereka membawa momentum mereka dalam perjumpaan dengan para pegawai. Tidak lama selepas pilihan raya, ia dan kumpulan bersekutu meyakinkan gabenor Beirut, Ziad Chebib untuk membuka satu-satunya taman bandar tersebut, hutan simpan pokok pain, setiap hari. Ia sebelum ini hanya dibuka pada hari Sabtu.

Kempen awam yang serupa telah meminta Chebib untuk mengarahkan projek Peranginan Eden Rock dihentikan pada bulan Jun. Beliau meminta penjelasan bagaimana sekatan-sekatan larangan binaan ke atas beberapa plot dibatalkan. Tetapi pada bulan September, beliau telah membenarkan projek itu diteruskan.

Plot milik persendirian?

Awal bulan ini, seorang penduduk setempat memuat naik sebuah video ke dalam Facebook mengenai jentera-jentera berat menghamburkan konkrit ke basin menuju ke persisiran Ramlet al-Baida.

Kelihatan para penunjuk perasaan membawa obor api dalam bantahan itu. – AP
Kelihatan para penunjuk perasaan membawa obor api dalam bantahan itu. – AP
Kerja-kerja binaan di pantai tersebut. – AP
Kerja-kerja binaan di pantai tersebut. – AP

Beberapa buah kumpulan sivil telah mengerahkan himpunan kecil menuju ke tapak itu, di mana para penunjuk perasaan bertelagah dengan orang yang digaji oleh pemaju, Achour Development.

Para penunjuk perasaan termasuk sejumlah mereka yang juga muncul daripada kempen ‘You Stink’ pada tahun lepas, yang membawa beribu-ribu penduduk Lubnan ke jalan-jalan raya bagi membantah endemik rasuah dan krisis sampah. Krisis sampah masih belum diselesaikan, dengan sampah-sarap yang dibiarkan memenuhi tapak pelupusan di pinggir bandar, sehingga mengeluarkan bau yang sangat busuk di kejiranan.

Achour development menolak untuk memberikan sebarang komen mengenai bantahan itu, dengan mengatakan bahawa ia mempunyai permit yang diperlukan. Chebib tetap menyatakan bahawa plot-plot yang ditandakan bagi Eden Rock adalah milik persendirian dan pemaju mempunyai hak untuk membina di atasnya.

Beliau juga menolak permintaan untuk sebarang pertanyaan.

Para peguam pula mengerjakan satu kes untuk menentang permit itu, atas alasan adanya penyelewengan yang menurut mereka kerajaan terlepas pandang.

“Kami mempunyai gambar-gambar dari udara yang menunjukkan bahawa kawasan ini pada asalnya di bawah garis pantai, jadi ia adalah mustahil ia milik persendirian,” kata seorang peguam dan aktivis, Wasef Harakeh, yang membantu menganjurkan bantahan itu.

Ballout, penjawat awam yang telah menikmati ketenangan pantai selama ini, berkata beliau tidak mungkin menyokong projek itu.

“Saya tidak menentangnya atas ke-baikan saya sendiri, saya menentangnya untuk kebaikan anak-anak saya. dan mereka yang tidak mempunyai banyak wang, di mana mereka akan pergi?” katanya. – AP