Projek pulihara hutan dilaksana

Projek pulihara hutan dilaksana

SANDAKAN, 5 April (Bernama) – Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) melaksanakan Projek Perhutanan Masyarakat yang menjurus kepada aktiviti pemuliharaan hutan di 400 kampung di Hutan Simpan dan kawasan berdekatannya sejak 2007 dengan kos RM27 juta.

Timbalan Pengarah JPS Frederick Kugan berkata kos projek itu diperoleh menerusi tabung kutipan hasil hutan tahunan jabatan itu bagi memastikan pemuliharaan hutan simpan dilakukan dengan penglibatan masyarakat.

“Antara projek itu ialah penyediaan kemudahan asas dan rumah bagi memastikan masyarakat dilibatkan dalam memulihara hutan simpan,” katanya semasa merasmikan Bengkel Pembangunan Hala Tuju Nasional Mengenai Perhutanan Sosial Sabah di Pusat Penemuan Hutan Hujan (RDC) Sepilok, hari ini.

Bengkel tiga hari itu, yang bermula hari ini, disertai 60 wakil agensi kerajaan, ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan dan wakil penduduk kampung.

Kugan berkata Pengurusan Hutan Mapan (SFM) yang dilaksanakan sejak 1997 merupakan konsep perhutanan sosial di bawah jabatan itu bagi memastikan Hutan Simpan di Sabah diuruskan secara kekal.

“SFM menjadi satu jenama kepada Sabah hingga ke peringkat antarabangsa dalam memulihara hutan simpan. Menerusi visi jabatan itu menjelang 2025, seluas 30 peratus hutan di negeri ini akan dilindungi secara menyeluruh merangkumi 2.2 hektar hutan simpan,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA