Projek rintis FRS 1 Sept

Projek rintis FRS 1 Sept

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Ogos – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan bagi Jabatan Perbendaharaan untuk melaksanakan projek Sistem Penyewaan Kemudahan Kerajaan (FRS) secara Perkongsian Awam Swasta (PPP) dengan kerjasama Syarikat Telekom Brunei Berhad (TelBru).

Kementerian Kewangan mengumumkan dalam satu kenyataan hari ini berkata, projek tersebut akan dilaksanakan secara projek rintis bermula pada 1 September 2016.

Sehubungan itu, orang ramai khususnya pengguna-pengguna kemudahan awam yang berhasrat untuk menyewa kemudahan-kemudahan yang dikendalikan oleh agensi-agensi kerajaan seperti padang bola sepak, dewan, gelanggang sukan dan lain-lain bolehlah membuat tempahan untuk menggunakan kemudahan tersebut dengan melayari laman sesawang www.12book.com.bn.

Kementerian Kewangan menjelaskan, selain daripada membuat tempahan, para pengguna juga boleh membuat pembayaran secara online, di samping dapat mengetahui pelbagai kemudahan yang disediakan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkenaan termasuk kadar sewa yang dikenakan.

Penggunaan FRS ini dihasratkan supaya kementerian-kementerian dan jabatan kerajaan meningkatkan produktiviti dalam pengurusan aset-aset kerajaan dengan lebih bersistematik di samping untuk memudahkan serta meningkatkan kutipan hasil kerajaan melalui pembayaran secara online.

Sistem tersebut juga bertujuan untuk menjimatkan kos pengurusan kemudahan, memperluaskan saluran pemasaran dan mempromosikan kemudahan-kemudahan yang disediakan.

Bagi para pengguna pula akan dapat membuat tempahan ke atas kemudahan-kemudahan yang disenaraikan di dalam laman sesawang tersebut serta membuat pembayaran dan pembatalan secara online.

Jabatan-jabatan yang akan terlibat dalam projek ini adalah Kementerian Kewangan, Pusat Persidangan Antarabangsa, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan dan Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan.

Kementerian-kementerian dan jabatan kerajaan lain yang mempunyai kemudahan-kemudahan yang dimaksudkan dan berhasrat untuk mengguna pakai kemudahan FRS ini bolehlah menghubungi Jabatan Perbendaharaan di talian 2383444 atau melalui e-mel ppp@treasury.mof.gov.bn bagi maklumat lanjut mengenainya.

ARTIKEL YANG SAMA