Projek Saluran Paip Gas Pengerang dijangka siap tahun ini

Projek Saluran Paip Gas Pengerang dijangka siap tahun ini

KUALA LUMPUR, 26 April – Projek Saluran Paip Gas Pengerang Petronas Gas Bhd (PGB) mengikut jadual dan dijangka siap tahun ini, kata Pengerusinya Tan Sri Shamsul Azhar Abbas.

Beliau berkata projek tersebut akan membolehkan bekalan permulaan gas daripada rangkaian saluran paip sedia ada ke Pengerang dan sebaliknya.

“Selain itu, kumpulan dijangka mencapai keputusan pelaburan akhir pada suku kedua 2016 bagi projek unit pengasingan udaranya, juga di Pengerang, yang perjanjian dasar induk ditandatangani pada 2014,” katanya kepada media selepas mesyuarat agung tahunan kumpulan di sini hari ini.

Shamsul Azhar berkata projek berkenaan merupakan antara projek pertumbuhan yang memastikan syarikat itu mempunyai projek pada tahun ini dan seterusnya.

Walaupun berdepan dengan masa yang mencabar, PGB berjaya mencatatkan keputusan yang positif bagi tahun kewangan 2015, katanya.

Perolehannya pada RM4.5 bilion tahun lepas, naik 1.5 peratus daripada RM4.4 bilion pada 2014, manakala keuntungan meningkat 7.8 peratus kepada RM2 bilion terutamanya disebabkan oleh insentif cukai bagi projek pembaharuan loji yang siap sepenuhnya pada awal 2015. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA