Projek ‘Sarapan untuk Sekolah’ bermula

Projek ‘Sarapan untuk Sekolah’ bermula

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Jan – Menyedari pentingnya pengambilan sarapan pagi khususnya bagi para pelajar, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) buat pertama kalinya mengendalikan Program ‘Sarapan untuk Sekolah’ (Breakfast for Schools) yang bermula hari ini.

Sehubungan itu, Yayasan telah mengaturkan satu lawatan kerja dengan Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan untuk menyaksikan sendiri hari pertama program ini dilaksanakan di Sekolah Menengah (SM) Awang Semaun, yang mempunyai jumlah terbesar peserta program iaitu seramai 100 orang pelajar.

Hadir semasa lawatan itu ialah Penolong Pengarah Urusan Yayasan, Hajah Donnaliza binti Abdullah Puasa dan Penolong Pengarah/Ketua Unit Kaunseling dan Kerjaya Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor.

Program tersebut dikendalikan dengan kerjasama Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan dan disokong oleh Royal Brunei Catering Sdn Bhd, Gardenia Food Industries Sdn Bhd, dan Persatuan Pacuan Empat Roda Brunei Darussalam.

Pelajar-pelajar Sekolah Menengah Awang Semaun disajikan bubur untuk sarapan pagi mereka kelmarin.
Pelajar-pelajar Sekolah Menengah Awang Semaun disajikan bubur untuk sarapan pagi mereka kelmarin.
Pelajar-pelajar yang terpilih sedang menikmati hidangan sarapan pagi yang disediakan untuk mereka di bawah Program Sarapan untuk Sekolah anjuran Yayasan.
Pelajar-pelajar yang terpilih sedang menikmati hidangan sarapan pagi yang disediakan untuk mereka di bawah Program Sarapan untuk Sekolah anjuran Yayasan.

p03-3_20160120

Sebagai projek rintis yang baru dimulakan pada tahun ini, seramai 200 orang pelajar daripada keluarga-keluarga kurang berkemampuan yang telah dikenal pasti dari empat buah sekolah di Daerah Brunei dan Muara, dipilih bagi mengikuti program tersebut.

Mereka terdiri daripada 100 orang pelajar dari SM Awang Semaun, 50 dari SM Masin, 40 dari Sekolah Rendah Lumapas dan 10 orang dari Sekolah Rendah Junjungan.

Melalui program ini, para pelajar yang terlibat dari keempat-empat buah sekolah yang berkenaan akan menerima sarapan pagi secara percuma setiap Selasa dan Sabtu.

Sarapan pagi itu mula dihidangkan pada jam 6:45 pagi pada hari-hari tersebut sehingga 29 Oktober 2016 bagi sekolah rendah dan 22 November bagi sekolah menengah.

Sebelum ini, bagi penyelarasan pengendalian program ini, penandatanganan memorandum persefahaman telah diadakan pada 14 Januari lalu di Dewan Serba Guna, Tingkat 4, Kompleks Yayasan di ibu negara.

Yayasan mengharapkan program ini akan berjalan dengan lancar dan teratur bagi menepati hasrat program, di samping mengharapkan lebih banyak sokongan daripada pihak-pihak yang tertentu supaya ia dapat dikembang luaskan bagi memeduli para pelajar dari sekolah-sekolah lain di seluruh negara.