Projek SMS Brunei Prihatin dilancarkan lagi

Projek SMS Brunei Prihatin dilancarkan lagi

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Nov – Bagi memudahkan orang ramai menyalurkan sumbangan kepada Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah (DANA), Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) sekali lagi melancarkan Projek SMS Brunei Prihatin yang diadakan buat kali ke-10.

Pelancaran projek yang akan berjalan selama 67 hari itu telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman selaku Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah DANA pada majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kompleks Yayasan, di sini, hari ini.

Dengan pelancaran ini orang ramai boleh menghulurkan sumbangan menerusi SMS dengan menaip DANA dan diikuti dengan jumlah sumbangan (sama ada 1, 5, 10, 15 atau 20) dan menghantarkan ke talian 38111 bagi pengguna DST dan Progresif Cellular, bermula hari ini hingga 31 Januari 2016.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, projek kelolaan Yayasan ini merupakan sebagai salah satu usaha tambahan bagi mempelbagaikan cara orang ramai untuk menyalurkan sumbangan di samping penyaluran sumbangan dengan cara yang telah dan sedang berjalan sejak DANA ditubuhkan pada 25 Ogos 1998.

Dengan kerjasama dan sokongan padu daripada pihak-pihak yang terlibat, pada tahun 2014-2015, projek berkenaan telah berjaya mengutip sejumlah $79,629.

Yang Berhormat Pehin menerima poster daripada Awang Abdul Latif.
Yang Berhormat Pehin menerima poster daripada Awang Abdul Latif.

Majlis Pelancaran SMS Brunei Prihatin bagi DANA itu juga telah diselajurkan dengan penyampaian sumbangan DANA dalam bentuk kupon sebanyak 3,981 untuk pembelian peralatan dan keperluan persekolahan bagi anak-anak yatim DANA.

Projek sumbangan dalam bentuk kupon bernilai $70 setiap satu ini telah berjalan selama 14 tahun iaitu bermula dari tahun 2002,

Dengan adanya projek berkenaan, ia diharapkan sedikit sebanyak akan dapat mengurangkan beban perbelanjaan persekolahan yang ditanggung oleh ibu atau penjaga anak yatim berkenaan khususnya di awal penggal musim persekolahan.

Kupon-kupon ini boleh digunakan di kedai-kedai yang menjual peralatan persekolahan dan juga barangan kanak-kanak yang belum bersekolah yang telah dikenal pasti oleh Sekretariat DANA.

Pada majlis itu, Yang Berhormat Pehin telah menyerahkan kupon-kupon berkenaan kepada wakil-wakil dari jabatan daerah di keempat-empat daerah, iaitu Pegawai Daerah Temburong, Haji Abd Hamid bin Dato Paduka Haji Abdullah, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Haji Adnan bin Haji Adam, wakil pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Muhammad Ihsan Sabri bin Haji Abdul Manap, dan wakil pegawai Daerah Belait, Awang Mohammad Asdi Khalid bin Zainal.

Menurut statistik Yayasan, jumlah pelajar yang berdaftar dengan DANA telah bertambah dari setahun ke setahun; dalam tahun 2004, jumlah anak-anak yatim yang berdaftar ialah seramai 1,756 dan jumlah terkini sehingga penghujung bulan Oktober 2015 ialah seramai 4,044.

Dengan peningkatan sebanyak 130 peratus sejak tahun 2004 yang lalu, setentunya akan memerlukan kumpulan dana yang stabil dan perancangan yang bersesuaian dalam usaha bagi memelihara kebajikan dan kesejahteraan hidup anak-anak yatim di Negara Brunei Darussalam.

Majlis pelancaran berkenaan turut menyaksikan tayangan video promo SMS Brunei Prihatin bagi DANA tahun 2015-2016 dan diteruskan dengan sumbangan SMS Brunei Prihatin yang didahului oleh tetamu kehormat majlis.

Majlis diteruskan dengan penyampaian poster DST oleh Ahli Lembaga Pengarah DST, Awang Abdul Latif bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof kepada tetamu kehormat majlis.