‘Projek Sunroof’ Google bantu pemilik rumah

‘Projek Sunroof’ Google bantu pemilik rumah

SAN FRANCISCO, 18 Ogos – Google boleh memeriksa bumbung rumah anda, dan boleh memberitahu anda sama ada berbaloi untuk melabur dalam panel tenaga solar.

Syarikat teknologi Amerika Syarikat itu berkata alat dalam talian “Projek Sunroof” kini boleh diperoleh di kawasan sekitar San Francisco dan Fresno di California dan sekitar Boston, Massachusetts.

Alat baru itu “menggunakan pemetaan udara resolusi tinggi (yang sama digunakan oleh Google Earth) untuk membantu anda mengira potensi tenaga solar bumbung anda, tanpa perlu menggunakan mana-mana tangga,” menurut jurutera Google, Carl Elkin dalam blog.

Laman sesawang itu itu “mengira jumlah cahaya mata hari yang memancar bumbung anda sepanjang tahun, mengambil kira faktor seperti haluan bumbung, tempat teduh daripada pokok dan bangunan berhampiran, dan corak cuaca tempatan” dan seterusnya “menggabung kesemua maklumat berkenaan untuk menganggarkan jumlah yang boleh anda jimat dengan panel solar,” kata Elkin. Ia juga boleh menghubungkan pemilik rumah dengan pembekal solar tempatan.

Elkin berkata usaha tersebut bertujuan mengatasi kebimbangan pengguna dan menggalak penggunaan tenaga hijau yang mengurangkan pengeluaran karbon.

“Kos tenaga solar mencecah rekod rendah,” kata beliau.

“Sebuah rumah solar biasa boleh menjimatkan beratus-ratus malah beribu-ribu dolar setahun dalam bil elektrik mereka.

“Namun, sebagai seorang anggota sukarelawan dengan program solar Solarize Massachusetts dan pemilik rumah solar sendiri, saya berasa terkejut dengan jumlah orang yang telah saya jumpa yang fikir ‘bumbung saya tidak mempunyai cahaya mata hari yang cukup untuk solar,” atau “solar adalah terlalu mahal.” Google berharap dapat mengembang projek tersebut ke rantau lain “pada bulan-bulan akan datang,” kata Elkin. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA