Projek tebatan banjir RM2.9 bilion

Projek tebatan banjir RM2.9 bilion

KUCHING, 10 Jun – Sarawak sedang berusaha mendapatkan peruntukan RM2.9 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 bagi melaksanakan projek tebatan banjir di negeri ini.

Menteri Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Sim Kui Hian, berkata satu projek melibatkan kos RM357 juta telah diluluskan di bawah Rolling Plan pertama.

Sebagai langkah jangka panjang, katanya, kerajaan meluluskan pelaksanaan “Sarawak Urban Storm Water Management Manual (SUStoM)” untuk menangani masalah banjir di kawasan pembangunan baharu di seluruh negeri ini. “Sistem baharu ini digunakan untuk mengawal air banjir di peringkat sumbernya dan merupakan pendekatan bersifat lebih mesra alam dengan menggunakan proses menakung/membendung, menapis dan menulenkan air hujan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Di samping itu, katanya, sebanyak RM11 juta diluluskan bagi kajian Pelan Induk Air Hujan Bandar untuk bandar seperti Sri Aman, Betong, Sarikei, Bintangor, Limbang, Lawas dan Serian.

Dr Sim berkata langkah jangka panjang lain termasuk penyediaan pelan induk penggunaan tanah bagi memenuhi keperluan pengurusan air hujan. Mengenai kejadian banjir kilat di sini, beliau berkata sebuah jawatankuasa saliran bandar telah ditubuhkan, dianggotai Jabatan Pengairan dan Saliran dan Jabatan Kerja Raya, bagi meningkatkan keberkesanan penyelarasan.

Katanya, langkah jangka sederhana pula ialah menaik taraf saliran utama di kawasan yang terjejas teruk akibat banjir kilat.

Beliau berkata, bagi tujuan itu, RM8 juta diperlukan untuk kawasan Central Padang, RM15 juta bagi kawasan Hospital Umum Sarawak, RM20 juta bagi Jalan Batu Lintang, RM25 juta bagi Jalan Laksamana Cheng Ho dan RM15 juta bagi kawasan kuarters persekutuan.

Di samping itu, kata Dr Sim, setiap majlis perbandaran akan memainkan peranan untuk menambah baik sistem saliran di kawasan masing-masing. – Bernama