Promosi alat kenderaan di Jakarta

Promosi alat kenderaan di Jakarta

JAKARTA, 31 Mac (Bernama) – Sebanyak 12 pengeluar alat kenderaan, di bawah naungan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menyertai Pameran Alat, Aksesori dan Kelengkapan Kenderaan Antarabangsa Indonesia (INAPA 2016) yang berlangsung di Ekspo Antarabangsa Jakarta, Kemayoran.

INAPA 2016 selama empat hari bermula 29 Mac itu merupakan pameran peralatan auto terbesar di Indonesia dengan 1,100 pempamer dari 28 negara.

Pesuruhjaya Perdagangan Matrade di Indonesia, Naim Abdul Rahman berkata syarikat Malaysia mempromosi motosikal serta pelbagai komponen dan peralatan kenderaan termasuk penyerap hentakan, getah tingkap dan pintu, pad brek, rim tayar lasak, alat sistem gear, paparan pandu, penggera, sensor, elektronik pencahayaan dan penyaman udara.

Beliau berkata melalui penyertaan itu, syarikat berkenaan mempunyai peluang untuk menembusi Indonesia yang merupakan pasaran luas industri automotif dengan import komponen dan alat kenderaan tahunan kira-kira AS$3 bilion.

“Malaysia merupakan pembekal utama komponen dan alat kenderaan ke Indonesia dan kami berharap peserta mempunyai peluang yang baik untuk mengembangkan perniagaan mereka di negara ini,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Malaysia turut menghadapi persaingan sengit dari negara lain dalam membekalkan peralatan kenderaan di Indonesia, katanya.

“Oleh itu, syarikat Malaysia dinasihatkan supaya terus menawarkan peralatan kenderaan yang berkualiti dan bekerjasama erat dengan pengedar Indonesia melalui strategi pemasaran berkesan.

“Penyertaan dalam acara perdagangan seperti INAPA yang menyediakan platform berkesan kepada syarikat Malaysia, bukan hanya untuk mempromosi komponen dan alat kenderaan mereka di Indonesia, malah yang lebih penting adalah bertemu pembeli yang tepat dalam pasaran berkenaan,” katanya.

Matrade telah menyusun pertemuan perniagaan secara langsung antara syarikat Malaysia dan pembeli Indonesia semasa pameran itu untuk membantu mereka mencapai matlamat menembusi pasaran komponen dan peralatan kenderaan Indonesia.

ARTIKEL YANG SAMA