Promosi ASEAN buka perubahan positif

Promosi ASEAN buka perubahan positif

MELAKA, 20 Nov – Usaha kerajaan mempromosikan ASEAN menerusi pelbagai medium dilihat mampu membuka pelbagai perubahan positif dalam pembangunan dan kemajuan masyarakat, ekonomi, mentaliti serta hubungan dua hala antara negara anggota.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata pendedahan yang secukupnya berkaitan negara anggota ASEAN penting bagi memastikan Malaysia sentiasa bergerak seiring dengan negara anggota lain dan tidak ketinggalan dalam apa juga bidang.

Beliau berkata negara yang membangun seperti Malaysia tidak boleh bersendirian, sebaliknya memerlukan sokongan dan kerjasama menyeluruh dengan negara anggota ASEAN agar dapat bersaing atau setaraf dengan mereka dalam bidang tertentu.

“Paling penting hubungan erat antara 10 anggota ASEAN ini mampu membuka peluang pekerjaan, perdagangan dan perniagaan yang sangat luas dan membantu pertumbuhan ekonomi anggota ASEAN,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Program ASEAN@Community anjuran Jabatan Penerangan di sini, hari ini. Program ASEAN@Community di bawah pakej ASEAN@Yourfingertips merupakan satu kaedah yang amat mudah, ringkas dan senang bagi mengenali negara ASEAN dalam tiga pendekatan iaitu ‘penglibatan’, ‘menyebarkan ilmu pengetahuan’ dan ‘pembelajaran visual’ dan ia akan dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negara.

Abu Bakar berkata masyarakat di negara ini sekurang-kurangnya perlu mempunyai pengetahuan asas berkaitan pelbagai aspek, termasuk cara hidup, adat dan budaya masyarakat negara jiran serta bentuk muka bumi mereka agar hubungan dua hala yang terjalin dapat diperkukuhkan.

Beliau berkata banyak manfaat mampu dikecap melalui perjanjian yang termeterai antara negara anggota ASEAN sekali gus dapat membentuk komuniti ASEAN yang mampan merangkumi pelbagai sektor dan aspek pembangunan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA