Promosi gaya hidup sihat

Promosi gaya hidup sihat

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Sept – Sebagai sebahagian daripada inisiatif Telekom Brunei Berhad (TelBru) untuk mempromosikan sukan dan gaya hidup sihat dalam kalangan kakitangannya, TelBru menganjurkan Karnival Sukan TelBru yang dilancarkan, kelmarin, di Stadium Hassanal Bolkiah, Ibu Pejabat Polis, Gadong.

Hadir menyempurnakan pelancaran acara yang dikendalikan oleh Kelab Sukan dan Rekreasi TelBru (TSRC) itu ialah Ahli Lembaga Pengarah TelBru, Dato Paduka Haji Suhaimi bin Haji Gafar selaku tetamu kehormat.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kewangan, Dato Paduka Haji Hisham bin Haji Mohd Hanifah selaku Pengerusi TelBru, ketua-ketua pegawai dan warga pengurusan kanan TelBru.

Menurut kenyataan TelBru, di sini, hari ini, selepas melancarkan karnival, tetamu kehormat sambil diiringi Pengerusi TSRC, Haji Roslan bin Othman, juga telah meninjau petak pameran kelab berkenaan yang menunjukkan pelbagai aktiviti dan sukan yang telah diadakan dan dianjurkan oleh TelBru sebelumnya seperti bola sepak, futsal, berbasikal, larian dan trek, badminton dan bola jaring.

Di bawah kelab itu, semua kakitangan dibahagikan kepada lima pasukan rumah berbeza yang diberi nama Alpha, Bravo, Charlie, Delta dan Echo.

Gambar ramai warga TelBru yang mengikuti acara tersebut.
Gambar ramai warga TelBru yang mengikuti acara tersebut.
Tetamu kehormat merasmikan Karnival Sukan TelBru.
Tetamu kehormat merasmikan Karnival Sukan TelBru.
Salah sebuah pasukan dalam perlawanan tarik kalat.
Salah sebuah pasukan dalam perlawanan tarik kalat.

Semasa karnival itu, tetamu kehormat turut menyaksikan pusingan akhir perlawanan bola sepak tujuh sepasukan yang telah bermula 5 September lalu, dan muncul juara ialah Pasukan Delta yang membawa pulang trofi kejohanan dan pingat-pingat.

Selain itu, aktiviti-aktiviti sukan ria turut diadakan termasuk tarik kalat, boling buah kelapa, cabaran makan, perlawanan ping pong, larian dalam guni dan bermacam-macam lagi.

Haji Roslan dipetik sebagai berkata, “Selain mempromosikan sukan dan gaya hidup sihat, objektif kelab adalah untuk menganjurkan acara-acara sukan atau rekreasi dengan teratur seperti karnival sukan berkenaan yang boleh membantu mengukuhkan hubungan di antara kakitangan TelBru dan membolehkan kakitangan kami berinteraksi sesama mereka di luar tugas.”

Menurut kenyataan itu, Pasukan Rumah Echo telah muncul juara keseluruhan dengan berjaya mengutip 36 mata dan menerima satu trofi kemenangan berserta pingat-pingat.

ARTIKEL YANG SAMA