Promosi jenama Equator Asia

Promosi jenama Equator Asia

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Sept – Kluster pelancongan Kawasan Pertumbuhan Ekonomi ASEAN Timur Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina (BIMP-EAGA) mampu berperanan mempercepatkan pertumbuhan perkembangan pelancongan di rantau sebelah sini melalui projek-projek yang dilaksanakan dan juga untuk mempromosikan Kawasan Pertumbuhan ini sebagai destinasi ekopelancongan tunggal di bawah jenama Equator Asia.

Setiausaha Tetap di Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Hajah Normah Suria Hayati binti Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr) Haji Awang Mohd Jamil AI-Sufri berkata, para pemimpin semasa Sidang Kemuncak ke-11 BIMP-EAGA di Langkawi, Kedah, pada April lalu, mengambil maklum mengenai dengan peningkatan sejumlah hampir 60 peratus ketibaan pelancong kepada 5.1 juta pada tahun 2013 sejak tahun 2009.

“Strategi kerjasama di antara kluster memainkan peranan yang penting bagi industri pelancongan,” katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat ke-12 Kluster Perkembangan Pelancongan, BIMP-EAGA selama tiga hari bermula hari ini.

Mesyuarat yang berlangsung di Park View Hotel di Jerudong itu turut disertai kira-kira 40 delegasi dari Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina.

Hajah Normah Suria Hayati menyampaikan ucapan beliau pada Mesyuarat ke-12 Kluster Perkembangan Pelancongan, BIMP-EAGA di ibu negara kelmarin.
Hajah Normah Suria Hayati menyampaikan ucapan beliau pada Mesyuarat ke-12 Kluster Perkembangan Pelancongan, BIMP-EAGA di ibu negara kelmarin.

Menurut Hajah Normah, kawasan BIMP-EAGA mempunyai sumber alam semua jadi yang tidak tercemar, kepelbagaian budaya dan kekayaan biodiversiti di hutan dan juga lautnya serta ini memainkan peranan yang penting dalam pembasmian kemiskinan dan merapatkan jurang pembangunan di rantau kecil ini.

Mesyuarat hari ini yang dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Sarawak, Datu Ikpahon Anak Joyik antara lain membincangkan projek-projek pelancongan yang dilaksanakan bagi tahun 2015/2016, termasuk perkembangan produk pelancongan, pembangunan kapasiti profesional pelancongan dan promosi dan pemasaran, kerjasama dengan kluster pengangkutan dan perjalanan perkembangan pelancongan selepas 2016.

Sementara itu, para delegasi mesyuarat juga akan terlibat dengan lawatan ke Kampung Kiudang, iaitu salah satu tapak ekopelancongan berteraskan kemasyarakatan yang turut tersenarai di dalam Kluster Perkembangan Pelancongan Kawasan BIMP-EAGA.

ARTIKEL YANG SAMA