Promosi Kesihatan Wanita di JPMC

Promosi Kesihatan Wanita di JPMC

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Feb – Sempena Hari Wanita Sedunia yang disambut setiap 8 Mac, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) menawarkan Promosi Pemeriksaan Kesihatan Wanita kepada orang ramai bermula pada 1 Mac ini sehingga 30 April 2016.

Eksekutif Pemasaran JPMC, Dayang Aini Zulfa binti Haji Asbinin semasa sidang media di Bilik Lembaga JPMC hari ini, menjelaskan, promosi itu dibukakan kepada semua wanita berusia antara 18 hingga 75 tahun.

Manakala Ketua dan Perunding Obstetrik dan Jabatan Ginekologi serta Unit Perubatan Reproduksi, Dr. Chitra Karat mengatakan promosi sesuai untuk wanita yang pentingkan penjagaan kesihatan, selain untuk memberikan kesedaran kepada kaum wanita agar sentiasa menjaga tahap kesihatan mereka.

“Semasa pemeriksaan awal bagi pakej ini, para pelanggan akan melalui pemeriksaan fizikal secara terperinci serta pemeriksaan payudara dan pemeriksaan darah yang akan memeriksa bagi mana-mana masalah sistematik. Kemudian kami akan membuat pemeriksaan ultra bunyi dan TPP,” tambahnya.

Antara pemeriksaan yang ditawarkan termasuklah pemeriksaan umum, osteoporosis, ginekologi onkologi dan pemeriksaan kanser payudara. Ia merupakan langkah awal mengesan masalah kesihatan dan menghalang penyakit melarat ke peringkat lebih merbahaya.

Dayang Aini Zulfa (kiri), Dr. Chitra Karat dan Zaslin Maidin pada sidang media itu.
Dayang Aini Zulfa (kiri), Dr. Chitra Karat dan Zaslin Maidin pada sidang media itu.

Pakej promosi juga menawarkan konsultasi pakar ginekologi, pemeriksaan payudara sendiri, pemeriksaan tanda-tanda penting, jisim indeks badan (BMI), ujian darah, renal, hati dan TPP serta ovari, payudara dan usus.

JPMC menawarkan promosi ini dengan kerjasama The Body Shop Brunei di mana kedai kecantikan itu akan memberikan hadiah-hadiah ekslusif kepada 150 orang pelanggan yang menjalani pemeriksaan.

“The Body Shop Brunei merasa sangat teruja dengan sokongan dan kerjasama yang diberikan JPMC dalam meningkatkan kesedaran penyakit dalam kalangan wanita,” kata Pengurus Besar The Body Shop Brunei, Dayang Zaslin Maidin.

“The Body Shop percaya ia adalah sangat penting untuk menjaga kesihatan setiap individu untuk melahirkan para wanita sihat yang turut memainkan peranan penting dalam masyarakat,” tambahnya.

Orang ramai yang berminat dalam promosi itu bolehlah menghubungi JPMC untuk membuat temu janji mereka.

ARTIKEL YANG SAMA