Promosi Larian LAJSM di negara ASEAN

Promosi Larian LAJSM di negara ASEAN

KUALA TERENGGANU, 20 Sept (Bernama) – Terengganu akan mempromosikan acara Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud (LAJSM) 2016 di negara anggota ASEAN untuk menarik penyertaan daripada negara berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri Datuk Rozi Mamat berkata untuk tujuan itu pihaknya akan bekerjasama dengan Jawatankuasa Pelancongan negeri.

“Kita juga akan menghantar delegasi kita ke negara-negara ASEAN bermula akhir tahun ini supaya lebih ramai atlet dari negara-negara ASEAN akan menyertai larian tersebut,” katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Katanya kerajaan negeri menyasarkan 50,000 peserta pada LAJSM tahun depan daripada hampir 30,000 peserta tahun ini dengan hadiah juga akan ditambah baik.

Penganjuran LAJSM merupakan antara usaha kerajaan negeri untuk menarik dan mempopularkan lagi Terengganu dalam kalangan pelancong luar negara.

Rozi berkata pada tahun depan, tempoh karnival sukan yang diadakan bersempena acara larian itu akan dipanjangkan sehingga seminggu sebelum acara kemuncak LAJSM.

ARTIKEL YANG SAMA