Promosi lebih fokus perlu untuk tarik FDI berkualiti ke Malaysia

Promosi lebih fokus perlu untuk tarik FDI berkualiti ke Malaysia

KUALA LUMPUR, 27 Dis – Bagi membantu meningkatkan pendapatan dan pertumbuhan ekonomi Malaysia, usaha promosi yang lebih fokus dan khusus diperlukan untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) berkualiti daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sektor baru muncul serta industri berintensif kemahiran dan berteknologi tinggi.

Berikutan pengurangan hasil kerajaan daripada minyak mentah dan eksport berkaitan minyak setelah kejatuhan harga minyak mentah dunia, kini terdapat keperluan mendesak untuk mengembangkan dan mempelbagaikan pendapatan daripada sumber berasaskan komoditi ke dalam bidang pertumbuhan baharu.

Terdapat banyak ruang lingkup untuk mengembangkan pendapatan dan menarik pelaburan dalam sektor-sektor baru muncul seperti elektronik maju, sektor teknologi serta halal dan industri perkhidmatan yang boleh menjana aliran masuk FDI ke Malaysia, mewujudkan pekerjaan dan mencetuskan kesan berganda kepada ekonomi serta pertumbuhan pendapatan.

Malaysia boleh menggalakkan pelaburan berskala besar dengan mengambil kesempatan ke atas daya saing dan kedudukannya yang strategik di rantau ASEAN dalam Komuniti Ekonomi ASEAN dan juga hubungan erat yang telah lama terjalin dengan pelabur-pelabur utama dari Jepun dan Korea Selatan.

Setelah mendapat banyak pelaburan dalam sektor pembuatan dari Amerika Syarikat, Eropah, Jepun dan Korea Selatan, Malaysia boleh terus mengeksploitasi potensi yang besar bagi syarikat asing menubuhkan pejabat serantau mereka di sini melalui insentif hab utama.

Datuk Seri Mustapa Mohamed (dua, kiri) bertukar-tukar cenderahati bersama Akira Kajita (kiri) semasa seminar perniagaan di Osaka baru-baru ini. – Bernama
Datuk Seri Mustapa Mohamed (dua, kiri) bertukar-tukar cenderahati bersama Akira Kajita (kiri) semasa seminar perniagaan di Osaka baru-baru ini. – Bernama

Kerajaan telah memperkenalkannya dalam Bajet 2015 dalam bentuk kadar pengurangan cukai berperingkat berdasarkan jumlah nilai yang dihasilkan dalam menubuhkan operasi serantau di Malaysia.

Entiti milik asing, yang mendirikan hab utama di Malaysia perlu diperbadankan di Malaysia dan tiada pemilikan atau ekuiti tempatan yang dikenakan ke atas syarikat itu.

Pengarah Urusan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro) Kuala Lumpur, Akira Kajita berkata syarikat-syarikat Jepun di Malaysia telah berkembang dalam perkhidmatan kewangan Islam melalui penubuhan hab operasi di sini. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA