Promosi Menang dengan Helix dapat sambutan

Promosi Menang dengan Helix dapat sambutan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Julai – Promosi Menang dengan Helix anjuran Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM) selama tiga bulan mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila 8,856 penyertaan diterima.

Promosi istimewa bermula dari 1 Jun hingga 31 Ogos bagi pelanggan minyak pelincir Shell Helix menjanjikan hadiah menarik bagi pelanggan bertuah dengan hadiah utama merupakan sebuah kereta baru.

Sehubungan itu, lima orang pemenang hadiah sagu hati bulanan bagi bulan Jun bagi promosi itu telah dipilih dalam satu majlis yang disempurnakan oleh wakil-wakil media tempatan di Pejabat BSM, Bangunan PGGMB, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Dalam acara itu, seramai lima orang wakil media telah membuat cabutan untuk memilih lima pelanggan bertuah memenangi hadiah sagu hati berupa peralatan elektrik di mana para pemenang akan dihubungi oleh pihak BSM untuk menerima hadiah mereka dalam majlis penyampaian hadiah yang akan diadakan pada 21 Julai nanti.

Sebelum acara pemilihan pemenang hadiah sagu hati itu, Eksekutif Komersial BSM, Haji Zainie bin Haji Suhaili yang juga pengurus projek promosi, menjelaskan cabutan bagi pemenang sagu hati akan dibuat setiap bulan di mana para pemenang hadiah sagu hati masih lagi layak untuk menyertai cabutan bertuah untuk hadiah utama.

Wakil media membuat pemilihan secara rambang bagi pemenang hadiah sagu hati bulanan.
Wakil media membuat pemilihan secara rambang bagi pemenang hadiah sagu hati bulanan.

Haji Zainie menjelaskan, peti penyertaan yang diedarkan di setiap lokasi pengedar atau penjual minyak pelincir Shell Helix akan dikumpulkan setiap dua minggu sekali dan akan dibuka serta dimasukkan dalam peti cabutan utama setiap bulan selepas cabutan pemenang sagu hati.

Dalam hubungan itu, beliau berkata para pelanggan Shell Helix masih mempunyai masa untuk menyertai promosi hebat untuk memenangi hadiah-hadiah menarik.

Dalam promosi istimewa itu, para pelanggan BSM yang membuat pembelian minyak pelincir motor Shell Helix 4 liter iaitu Shell Helix Ultra, Shell Helix HX7 dan Shell Helix HX5 layak mendapat satu borang penyertaan bagi setiap pembelian mereka.

Borang yang lengkap diisi boleh dimasukkan ke dalam kotak khas yang disediakan di Pengedar Rasmi BSM yang mengambil bahagian, stesen-stesen minyak dan penjual.

Peti penyertaan yang dikumpul dari lokasi seluruh negara setiap dua minggu.
Peti penyertaan yang dikumpul dari lokasi seluruh negara setiap dua minggu.

Bagi promosi istimewa itu, hadiah-hadiah keseluruhan berjumlah kira-kira $50 ribu menanti para pelanggan bertuah dengan hadiah utama berupa sebuah kereta, Volkswagen Tiguan, hadiah kedua pakej percutian untuk dua orang ke Korea, hadiah ketiga pakej percutian untuk dua orang ke Sepang, Kuala Lumpur serta pelbagai hadiah menarik.

Di samping itu, para pemenang hadiah sagu hati akan diumumkan bulan ini dan Ogos tetapi para pemenang hadiah sagu hati juga layak memenangi utama untuk cabutan September nanti di lokasi dan tarikh yang akan diumumkan kemudian.

Promosi istimewa ini adalah sebagai tanda penghargaan daripada BSM kepada para pelanggan minyak pelincir Shell Helix. Shell Helix Ultra yang sesuai untuk enjin diesel dan petrol menggunakan teknologi terkini PurePlus yang menggunakan gabungan kuasa gas asli dengan teknologi pembersihan aktif bagi menghasilkan revolusi baru teknologi minyak pelincir.

ARTIKEL YANG SAMA