Promosi pembangunan PKS menerusi e-perdagangan

Promosi pembangunan PKS menerusi e-perdagangan

Oleh Imelda Farrah Zohre HA

Gambar oleh Aziz Idris

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Mei – Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) Brunei Darussalam bersama ABAC China menganjurkan bengkel penempatan Latihan E-Perdagangan Rentas Sempadan (CBET) dengan kerjasama BAG Networks Sdn Bhd bermula hari ini hingga 7 Mei.

Hadir selaku tetamu kehormat pada bengkel yang berlangsung di Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Tech Park, Anggerek Desa itu ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Dato Paduka Dato Lim Jock Hoi.

Bengkel berkenaan dihadiri lebih 45 delegasi dari Brunei, China, Indonesia Hong Kong, Malaysia, Filipina, Thailand dan Amerika Syarikat, yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk pegawai kerajaan, pembuat dasar, pemimpin Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serantau, persatuan-persatuan perdagangan dan pembekal perkhidmatan dalam rangkaian nilai global serta institusi akademik.

Ia menampilkan penceramah-penceramah dari DHGate, DHL, Google, Mastercard, eCargo, dan negara-negara APEC khususnya di rantau BIMP-EAGA yang akan berkongsi pengetahuan, pengalaman dan pandangan e-perdagangan merentas sempadan dengan PKS tempatan secara bersemuka, untuk menggalakkan interaksi langsung antara pengamal, membina rangkaian dengan profesional industri, dan untuk para pengusaha PKS untuk mendapatkan akses pasaran antarabangsa.

Antara topik yang diketengahkan dalam bengkel tiga hari itu adalah pengenalan kepada e-perdagangan, pengangkutan antarabangsa, strategi membangunkan jenama dalam talian, pembayaran Internet dan pembiayaan.

Antara yang menghadiri bengkel tiga hari berkenaan.
Antara yang menghadiri bengkel tiga hari berkenaan.

Di samping itu, antara acara menarik yang turut ditampilkan adalah pengenalan aplikasi mudah alih e-pembayaran oleh BIBD (selaku penaja utama acara itu) dan pameran fesyen pengantin oleh pereka tempatan seperti Anyati, Na Forrer dab E.Asbellah dan pereka antarabangsa dari China, Fenfen yang mengasaskan Suzhou Pansy Garment.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh ABAC Brunei Darussalam, bengkel ini adalah inisiatif oleh ABAC China bagi tujuan mempromosikan perdagangan rentas sempadan menerusi e-perdagangan, berikutan kejayaan China.

Dengan lebih sembilan juta PKS berniaga dalam talian, China adalah pasaran e-perdagangan terbesar di seluruh dunia. Oleh yang demikian, CBET bertujuan untuk mempromosikan pembangunan PKS di rantau ini menerusi e-perdagangan, menangani cabaran-cabaran seperti ak-ses kepada pasaran antarabangsa, pembiayaan, pembangunan kapasiti serta inovasi dan keusahawanan.

ARTIKEL YANG SAMA