Promosi PKS LiveWIRE berakhir

Promosi PKS LiveWIRE berakhir

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 29 Nov – Promosi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) LiveWIRE ke-7 anjuran LiveWIRE Brunei yang berlangsung selama tiga hari di kawasan Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC) Seria, telah melabuhkan tirainya hari ini.

Hadir bagi menutup tirai acara tersebut ialah Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Othman selaku tetamu kehormat yang dialu-alukan oleh Pengarah Program LiveWIRE, Pengiran Redzuan bin Pengiran Haji Abbas selaku Pengerusi Bersama Promosi PKS.

Turut hadir ialah Penolong Pegawai Daerah Belait, Awang Hasmiron bin Haji Mohd Taib serta ketua-ketua kampung di Daerah Belait.

Acara anjuran LiveWIRE Brunei dengan kerjasama Pejabat Daerah Belait, Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria serta Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Daerah Belait ini memperkenalkan para pengusaha PKS dari keempat-empat daerah termasuk dari LiveWIRE Business Brunei Network (LWBN), Kementerian Pendidikan bagi Skim Pendidikan Keusahawanan Brunei (BEES) dan sebagainya.

Sebanyak 80 PKS telah menyertai bazar jualan pada acara berkenaan yang menjual pelbagai jenis produk daripada pakaian hingga aksesori buatan sendiri.

Pengiran Redzuan semasa berucap di majlis itu.
Pengiran Redzuan semasa berucap di majlis itu.
Sebahagian pengusaha yang mengikuti Promosi PKS LiveWIRE iaitu The Parrot Kingdom.
Sebahagian pengusaha yang mengikuti Promosi PKS LiveWIRE iaitu The Parrot Kingdom.
Antara kereta yang terlibat bagi pertunjukkan kereta-kereta mod di OGDC.
Antara kereta yang terlibat bagi pertunjukkan kereta-kereta mod di OGDC.

Selain bazar jualan, acara turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk larian malam, pertandingan tarik kalat, forum dan dialog, zumba, menunggang kuda, pameran haiwan eksotik, karnival siuknya sains, rumah puaka, Flying Fox, mewarna untuk kanak-kanak, pameran kereta / motosikal, pameran seni mempertahankan diri, Abseiling dan sebagainya.

Pengiran Redzuan, dalam ucapan alu-aluannya pada majlis berkenaan berkata bahawa, acara utama dan aktiviti keusahawanan ini adalah untuk memberi galakan berterusan kepada para pengusaha muda di bawah bimbingan LiveWIRE Brunei, memberikan sokongan yang konkrit serta padu kepada pengusaha kecil dan sederhana di negara ini serta untuk menggalakkan perkembangan dan kemajuan perusahaan di Daerah Belait.

“Kita telah dapat melihat pelbagai daya usaha yang dilaksanakan oleh pengusaha kita pada hari ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Ada di antara pengusaha kita sudah melangkah ke peringkat global, pemaju yang lebih berinovasi, dan kita mengambil kesempatan kali ini untuk sama-sama berkongsi pengetahuan baru tentang Sistem Akuaponik dan Hidroponik yang ternyata mudah untuk kita menghayatinya walaupun pengusahanya daripada kalangan anak-anak yang masih di bangku sekolah.

“Kita berhasrat untuk mengembangkan juga teknologi maju ke bidang agrofood atau agrimakanan,” jelas beliau.

ARTIKEL YANG SAMA