Promosi produk halal ke negara TPP

Promosi produk halal ke negara TPP

KUALA LUMPUR, 2 Feb – Malaysia merancang mengembangkan pasaran halalnya ke negara-negara Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) termasuk Australia dan New Zealand.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Malaysia telah bekerjasama rapat dengan kedua-dua negara itu kerana mereka sudah biasa dengan agenda halal Malaysia.

“Kita sedang mencari pasaran di sebahagian dari negara-negara ini (TPP). Sebagai contoh, di Amerika Syarikat dan Kanada, yang penduduk Islamnya semakin bertambah ramai.

“Dengan mempromosikan produk halal di negara-negara tersebut, kita berharap pengeksport Malaysia akan mendapat akses pasaran yang lebih baik di beberapa negara TPP,” katanya kepada pemberita selepas prapelancaran Minggu Halal Dunia 2016, di sini, hari ini.

Mustapa berkata industri halal merupakan agenda penting bagi kerajaan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) dan Perbadanan Pembangunan Industri Halal diiktiraf sebagai titik tumpuan penting untuk membangunkan perniagaan halal Malaysia.

Beliau berkata banyak yang perlu dilakukan untuk mengantarabangsakan agenda halal negara bagi membantu meningkatkan penggunaan produk halal.

“Sekiranya pengiktirafan diberikan di setiap negara Islam, maka prospek pertumbuhan industri halal akan lebih besar. Tahap kesedaran telah meningkat tetapi banyak lagi yang perlu dilakukan,” katanya.

Mengenai perdagangan, beliau berkata 2015 mencatatkan pertumbuhan sederhana dan kementerian itu akan lebih agresif dalam menggalakkan eksport tahun ini.

“Kita perlu sedar bahawa terdapat had ketika ekonomi dunia masih bergelut di beberapa bahagian…adalah tidak realistik untuk menjangkakan peningkatan besar dalam perdagangan pada 2016,” katanya.

Prestasi perdagangan 2015 dijangka diumumkan Jumaat ini.

Sementara itu, jualan yang dijana semasa Pameran Halal Antarabangsa Malaysia Ke-13 (MIHAS) 2016 dijangka meningkat sederhana antara dua dan tiga peratus daripada RM1.1 bilion yang dicatatkan tahun lepas. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA