Promosi semangat tinggi, nilai kesukanan

Promosi semangat tinggi, nilai kesukanan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Feb – Jawatankuasa Pengurusan Sukan Universiti Asia tenggara (AUG) ke-18, baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Organisasi Anti-Penggunaan Dadah Rantau Asia Tenggara (SEARDO) bagi mempromosikan semangat tinggi dan nilai kesukanan di kalangan atlet di rantau ini.

Persetujuan ini adalah salah satu daripada visi memperluaskan dan menggalakkan negara-negara ASEAN untuk membudayakan budaya sukan bersih dengan memulakan kesedaran dan nilai pendidikan dalam kejohanan sukan antara universiti dan antara sekolah.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, SEARDO akan mengadakan beberapa siri bengkel pendidikan bersempena dengan Sukan Universiti ASEAN bagi atlet supaya mereka akan lebih peka kepada peraturan Anti-Penggunaan Dadah dalam sukan masing-masing.

MoU berkenaan telah ditandatangani oleh Pengerusi AUG, Dr. Tan Eng Liang bersama Pengerusi SEARDO, Dr. Patrick Goh di Universiti Pengurusan Singapura dengan disaksikan oleh enam orang perwakilan daripada Majlis Sukan Universiti Singapura.

Menurut Dr. Tan Eng Liang, Singapura akan menjadi hos kali ketiga acara sukan dwitahunan ini dan berhasrat untuk menjadikan sukan ini satu kenangan yang terbaik dalam kalangan para peserta dan turut menyatakan keyakinannya akan kejayaan AUG kali ini nanti.

“AUG sentiasa menitik beratkan pembangunan atlet muda tanpa hanya melihat kepada sebahagian daripada sukan sahaja malah kepada semua jenis sukan yang direncanakan dan melalui kerjasama antara AUG dan SEARDO ini ia akan berfungsi untuk menerapkan nilai terbaik dalam diri atlet bukan sahaja dalam acara yang mereka sertai malah berguna untuk kehidupan masing-masing,” tegasnya.

Dalam kenyataan itu turut menegaskan bahawa Dr. Tan turut berkata tiada jalan pintas untuk berjaya dalam sukan dan menegaskan hanya kerja keras dan atlet yang berusaha sedaya upaya yang akan mendapat kejayaan yang diidamkan.

“Kami bertanggungjawab untuk memberikan pendidikan kepada pelajar supaya mereka tahu akan langkah terbaik dan yang betul,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Dr. Patrick Goh pula menambah, “Misi SEARDO adalah untuk mempromosikan dan menyelaraskan usaha menentang Anti-Penggunaan Dadah dalam sukan di rantau ini dan melalui MOU ini rangka kerja yang tersedia akan dilaksanakan sebaiknya.”

“SEARDO akan membantu AUG memastikan bahawa temasya sukannya bebas daripada pencemaran najis dadah dan akan melihat kelancaran program berkenaan supaya ia dipraktikkan dan konsisten mengikut standard yang dinyatakan dalam standard antarabangsa dan kod Anti-Penggunaan Dadah 2015 dunia,” jelasnya lagi.

Beliau mewakili SEARDO berasa sangat berbesar hati dengan hasrat AUSC untuk mengadakan temasya sukan yang bersih dan melalui perjanjian ini satu pelan pengurusan bagi Therapeutic Use Exemption (TUE) applications and Adverse Analytical Findings (AAFs) atau Anti-Doping Rule Violations (ADRVs) yang diperlukan bagi keputusan pengurusan untuk sukan tersebut.

AUG ke-18 akan berlangsung pada 10 hingga 19 Julai 2016 dengan penglibatan kira-kira 1,600 orang pelajar daripada 11 buah negara di rantau ini yang bakal beraksi dalam 16 sukan termasuk Memanah, Olahraga, Badminton, Bola keranjang, Kayak, Lawan pedang, Bola Sepak, Pencak Silat, Pentanque, Ragbi, Sepak Takraw, Menembak, Renang, Ping Pong, Bola Tampar dan Polo Air.