Prosedur ortopedik capai banyak kemajuan

Prosedur ortopedik capai banyak kemajuan

Oleh Imelda Farrah Zohre HA

Gambar oleh Izah Azahari

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mei – Kebanyakan prosedur ortopedik kini sedang dilaksanakan di negara ini, termasuklah pembedahan penggantian sendi lutut dan pinggul, rawatan pelbagai kecederaan berkaitan dengan sukan dan pengurusan kes-kes trauma akut.

Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, Datin Paduka Dr Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil berkata, selain itu pakar bedah ortopedik juga bekerjasama dengan jabatan di bawahnya seperti pembedahan plastik dan pembedahan saraf untuk poli trauma pesakit yang dikendalikan oleh lebih daripada seorang pakar khusus yang diperlukan.

“Dalam rawatan yang lalu kecederaan tendon bahu dan kecederaan ligamen lutut memerlukan prosedur terbuka yang memerlukan penginapan lebih lama dan masa pemulihan yang berpanjangan.

“Dengan adanya pembedahan arthroscopic daripada bahu dan lutut prosedur ini kini membolehkan pesakit pulang ke rumah dalam satu atau dua hari sahaja,” katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat Dwitahunan Sains Ortopedik Brunei kali kedua yang berlangsung di Dewan Indera Samudera, Empire Hotel & Country Club, di sini, pagi ini.

Menurut Datin Paduka Dr Hajah Norlila, bagaimanapun, ini tidak menandakan berakhirnya pencapaian kita. Perjalanan kita masih jauh dan banyak lagi perlu kita majukan seperti peranan bank tulang, kemajuan dalam rawatan sel tunjang (stem cell), penggunaan alograf, penggunaan pelbagai implan logam dan bukan logam dan juga penggunaan prostesis bionik serta lain-lain.

Datin Paduka Dr Hajah Norlila memukul gong sebagai merasmikan Mesyuarat Dwitahunan Sains Ortopedik Brunei kali kedua di Jerudong, kelmarin.
Datin Paduka Dr Hajah Norlila memukul gong sebagai merasmikan Mesyuarat Dwitahunan Sains Ortopedik Brunei kali kedua di Jerudong, kelmarin.

Beliau berkata, kementerian sedar yang kita perlu terus berusaha memperbaiki diri kita serta menyediakan kemajuan-kemajuan ini kepada masyarakat di Brunei Darussalam dan memerlukan interaksi di kalangan pengamal ortopedik yang menjadi matlamat Persatuan Ortopedik.Mesyuarat Saintifik Ortopedik Brunei kali kedua ini dianjurkan oleh Persatuan Ortopedik Brunei Darussalam (OSBD) dengan membawakan tema “Staying in Motion – Key to Good Health”.

Penceramah-penceramah yang terdiri daripada pakar-pakar bedah ortopedik dari rantau ASEAN serta pakar-pakar tempatan membentangkan hasil-hasil kerja yang mereka laksanakan pada mesyuarat tersebut.

Tajuk-tajuk yang dibincangkan termasuk masalah otot dan masalah ortopedik yang berkaitan dengan penduduk negara ini.

Kira-kira 230 peserta terdiri daripada doktor, profesional kesihatan bersekutu dan jururawat menghadiri mesyuarat tersebut.

Malam tadi, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Awang Haji Mohd Yusof mengadakan makan malam untuk Ahli Persatuan Ortopedik Presiden Persatuan Ortopedik ASEAN, bertempat di Rizqun International Hotel, di sini.