Prosedur TAVI berjaya dilaksana

Prosedur TAVI berjaya dilaksana

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Sept – Prosedur pengimplanan injap aorta transkateter (TAVI) yang pertama di Brunei Darussalam berjaya dijalankan di Gleneagles JPMC pada 16 September 2016.

Prosedur itu dijalankan oleh Dr Paul Chiam, Pakar Kardiologi Melawat, Mount Elizabeth Hospital Singapura dan seorang pakar kardiologi tempatan, Dr. Sofian bin Dato Paduka Dr. Haji Johar.

Prosedur tersebut adalah satu rawatan untuk stenosis aorta yang teruk yang merupakan satu keadaan di mana injap aorta menjadi sempit akibat penyakit. Injap aorta ialah injap jantung yang mengawal aliran darah daripada ruang mengepam utama jantung, ventrikel kiri.

Stenosis aorta menimbulkan masalah kepada bekalan darah ke tubuh badan dan boleh mengakibatkan gejala seperti keadaan tercungap-cungap, pening, sakit dada dan lesu.

Jika dibiarkan tanpa rawatan, stenosis akan membawa kepada kegagalan jantung, jangkitan teruk malah kematian secara tiba-tiba. Kajian telah menunjukkan bahawa selepas bermulanya tanda-tanda gejala stenosis aorta, kadar hidup purata adalah 63 peratus pada dua tahun dan 20 peratus pada lima tahun. Prognosis adalah lebih teruk untuk pesakit dengan penyakit amat teruk.

Antara doktor dan pakar kardiologi yang menjayakan prosedur pengimplanan injap aorta transkateter (TAVI) yang pertama di Brunei Darussalam.
Antara doktor dan pakar kardiologi yang menjayakan prosedur pengimplanan injap aorta transkateter (TAVI) yang pertama di Brunei Darussalam.

Biasanya rawatan untuk stenosis aorta adalah pembedahan jantung di mana dada dibuka di bawah ubat anesthesia (bius) dan injap aorta diganti dengan injap mekanikal atau biologi. Tempoh pemulihan di hospital untuk pembedahan adalah dari 7 ke 10 hari dalam kes yang tidak mempunyai komplikasi.

Untuk pesakit yang lebih tua atau mereka yang mempunyai risiko tinggi untuk pembedahan, prosedur TAVI adalah satu opsyen yang baik. Ketika prosedur TAVI, satu insisi dibuat di bahagian groin di tempat saluran darah utama di kaki, arteri femoral.

Satu kateter yang mengandungi injap ganti baru seterusnya dimasukkan ke dalam aorta dan injap aorta yang bermasalah. Injap ganti itu seterusnya dibuka dan berfungsi dengan serta merta.

Tiub dikeluarkan dan insisi di kaki ditutup. Masa pemulihan untuk prosedur ini biasanya lebih pendek berbanding pembedahan biasa.

Dr. Sofian berkata, sebelumnya pesakit terpaksa dihantar ke luar negara untuk menjalani rawatan tersebut. Dengan adanya terapi ini di Brunei Darussalam, pesakit yang sesuai kini boleh mendapatkan rawatan TAVI di negara sendiri.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Gleneagles JPMC, Dr. Peter Tay, Brunei ialah negara pertama yang menjalani prosedur TAVI di Borneo.

“Perkembangan ini bukan sahaja mendatangkan manfaat untuk pesakit di negara Brunei, tetapi juga untuk pesakit di negara jiran dan rantau yang mempunyai opsyen dirujuk ke pusat kami untuk prosedur TAVI.”

ARTIKEL YANG SAMA