Proses agihan zakat terlalu lama

Proses agihan zakat terlalu lama

SAYA adalah seorang ‘Orang Kelainan Upaya’ (OKU) dan tidak berkeupayaan lagi untuk hidup berdikari bagi meraih sumber pendapatan disebabkan faktor kesihatan yang tidak mengizinkan kerana menghidap sejenis penyakit kronik ‘Muscular Dystrophy’.

Penyakit otot degeneratif yang dihidapi ini mengalami kemerosotan secara semula jadi dan menyebabkan saya hilang keupayaan secara kekal.

Sebelum ini saya telah menerima bantuan kewangan bulanan agihan wang zakat Asnaf Fakir dan Miskin sebanyak $200 untuk tempoh dua tahun dan bantuan tersebut telah berakhir pada bulan Mac, 2015.

Sehubungan dengan itu saya telah membuat permohonan baru bagi mendapatkan bantuan agihan wang zakat dan menghantar surat rayuan kepada Yang Berhormat Menteri bagi maksud memohon budi bicara dan rahim kasihan agar permohonan saya diberi pertimbangan khas memandangkan saya benar-benar bergantung harap daripada agihan wang zakat untuk menampung perbelanjaan seharian yang tidak mencukupi.

Pada 16 Mei 2015 saya telah dimaklumkan oleh seorang kakitangan Bahagian Zakat bahawa permohonan saya dikategorikan sebagai ‘Special Case’ dan akan diproses dalam kadar yang segera.

Setelah beberapa bulan berlalu saya menghubungi Bahagian Zakat melalui panggilan telefon pada 3 Ogos, 2015 dan kakitangan yang bertugas pada masa itu memaklumkan kepada saya bahawa permohonan saya setakat ini belum ada apa-apa perkembangan dan belum lagi dibawa ke mesyuarat.

Penjelasan yang diberikan itu benar-benar mendukacitakan kepada diri saya dan saya masih tertanya-tanya apakah sebenarnya maksud ‘Special Case’ seperti yang telah disampaikan kepada saya sebelum ini.

Bukan setakat itu sahaja, apabila saya menghubungi Bahagian Zakat kakitangan yang menjawab panggilan telefon tidak memberi layanan yang diharap-harapkan dan kemungkinan merasa terganggu dengan panggilan saya, malahan jawapan yang diberikan tidak menentu.

Saya menzahirkan setinggi-tinggi menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, atas titah Baginda sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Tahun 1436 Hijrah/2015 Masihi anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada 5 Ogos 2015, di mana Baginda bertitah menyeru agar golongan orang-orang yang berlainan upaya sentiasa diberi bantuan dan sokongan untuk meneruskan kehidupan yang sama atau seimbang dengan anggota masyarakat yang lain.

Saya secara peribadi merasa terharu dan menyanjung tinggi titah tersebut apatah lagi Kebawah Duli Yang Maha Mulia seorang pemimpin yang begitu menitik beratkan kebajikan dan kesejahteraan orang-orang Kelainan Upaya di Negara Brunei Darussalam.

Semoga titah tersebut dapat membuka mata pihak-pihak yang berkenaan dan menjadi pemangkin dalam sama-sama memberi perhatian dan bantuan yang sewajarnya kepada orang-orang yang kelainan upaya demi kelangsungan meneruskan kehidupan yang serba serbi dalam kekurangan.

Dipohonkan penjelasan daripada Bahagian Kutipan Agihan Zakat, mengenai proses bagi mendapatkan bantuan agihan zakat yang mengambil masa yang terlalu lama untuk dipertimbangkan dan disokong bagi setiap permohonan yang dibuat.

Perkara seumpamanya ini menambahkan lagi kesusahan dan permasalahan serta bebanan kepada pemohon-pemohon seperti saya yang begitu mengharapkan bantuan melalui agihan wang zakat.

Pemohon zakat OKU

ARTIKEL YANG SAMA