Proses damai selatan Thai tunjuk kemajuan

Proses damai selatan Thai tunjuk kemajuan

BANGKOK, 9 Feb – Proses membawa kedamaian di wilayah bergolak selatan Thailand menunjukkan kemajuan dengan kedua-dua pihak bertelagah, kerajaan Bangkok dan kumpulan pembebasan Pattani semakin hampir untuk memulakan rundingan damai secara rasmi.

Perkara itu didedahkan oleh sumber dalaman Mara Patani, yang menjadi payung kepada kumpulan-kumpulan pembebasan di Pattani yang terlibat dalam perbincangan tinjauan dan proses membina keyakinan dengan kerajaan Thai ketika ini.

“Kemajuan dalam proses perbincangan tinjauan dan proses membina keyakinan memang ada dan kita jangkakan akan diadakan perjumpaan secara rasmi dalam masa terdekat,” menurut sumber itu kepada Bernama pada Selasa.

Beliau berkata, pasukan teknikal kedua-dua pihak telah bertemu pada akhir bulan lepas untuk membincangkan perkara tentang Terma-Terma Rujukan sebelum memulakan rundingan damai secara rasmi.

Sumber itu tidak mendedahkan lokasi pertemuan antara kedua-dua pasukan teknikal itu, namun ia dipercayai diadakan di Kuala Lumpur berikutan kedudukan Malaysia sebagai fasilitator dalam rundingan tidak rasmi itu.

Pergolakan di wilayah selatan Thai sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah mengorbankan ribuan nyawa termasuk dalam kalangan orang awam.

Menurut sumber terbabit lagi, perbincangan terbaru di antara pasukan teknikal Mara Patani dan kerajaan Thai baru-baru ini mengenai Terma-Terma Rujukan telah mencapai banyak kemajuan menggalakkan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA