Proses memulakan perniagaan kecantikan dimudahkan

Proses memulakan perniagaan kecantikan dimudahkan

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Sept – Prosedur memulakan perniagaan bagi syarikat-syarikat berkaitan dengan kecantikan dan kesihatan dipermudahkan lagi apabila ia boleh dimulakan selepas Lesen Establismen Kecantikan dan Kesihatan (EKK) dikeluarkan dalam tempoh sehari waktu bekerja.

Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Haji Muhd Sunadi bin Haji Buntar mendedahkan perkara itu dalam sidang media yang berlangsung di Dewan Serba guna, KHEDN hari ini.

Bagaimanapun, aktiviti perniagaan ini hendaklah mematuhi Syarat dan Peraturan Mengendalikan Establismen Kecantikan dan Kesihatan Negara Brunei Darussalam yang dikeluarkan oleh KHEDN dan syarat dan peraturan yang dikenakan oleh agensi penguat kuasa di negara ini.

Menurutnya lagi, jika didapati perniagaan itu gagal mematuhi syarat-syarat dan peraturan ini, maka lesen EKK yang dikeluarkan akan digantung atau ditarik balik oleh pihak Berkuasa Melesen.

Perintah EKK yang sudah pun dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2016 lalu bagi mengawal aktiviti berkaitan kecantikan dan kesihatan, merangkumi perniagaan seperti aerobik, aromaterapi, tukang gunting rambut, pelangsingan badan, kosmetik, rawatan muka dan badan, gimnasium, salun rambut, merias kuku, tangan dan kaki, urut, refleksologi, spa termasuk kolam air panas atau sejuk.

Haji Muhd Sunadi ketika menerangkan perkara berkenaan.
Haji Muhd Sunadi ketika menerangkan perkara berkenaan.

Menurut Haji Muhd Sunadi, prosedur memulakan perniagaan EKK bermula dengan mendaftarkan nama syarikat ke Bahagian Pendaftar Nama-nama Perniagaan dan Bahagian Pendaftaran Syarikat-Syarikat (ROCBN), Kementerian Kewangan, setelah itu, lesen bagi memulakan perniagaan boleh dikeluarkan dalam tempoh satu hari waktu bekerja.

Bagi yang ingin memulakan perniagaan EKK, bolehlah memohon di Kaunter Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri di ROCBN, Kementerian Kewangan, Commonwealth Drive.

Sementara bagi yang membaharui lesen EKK, pengusaha bolehlah memohon di Business Support Centre, Tingkat 1, Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Simpang 32-37, Kampung Anggerek Desa.

Sebarang pertanyaan atau untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai EKK ini, pengusaha dan pemilik perniagaan serta orang ramai bolehlah menghubungi Kaunter Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri di ROCBN, Kementerian Kewangan, Commonwealth Drive; Business Support Centre, Tingkat 1, Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Simpang 32-37, Kampung Anggerek Desa atau hubungi talian 8363442 atau e-mel dare@ei.gov.bn; atau layari laman sesawang Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri www.home-affairs.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA