Proses penilaian lebih selektif

Proses penilaian lebih selektif

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mei – Proses penilaian bagi Biasiswa Kementerian Pertahanan bagi 2016 semakin selektif berasaskan hasil kajian semula terhadap keperluan Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

“Ini bermakna biasiswa berprestij dan berteraskan pengambilan (recruitment-based) ini menjadi lebih kompetitif selaras dengan dasar kepentingan organisasi untuk mendapatkan warga yang berdaya saing, bekerja keras serta mempunyai cara berfikir yang dinamik dan praktikal.”

Perkara itu dinyatakan oleh Pengarah Institusi Pengajian Pertahanan dan Strategik Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Awang Muhammad Shahrul Nizzam bin Umar dalam kata alu-aluannya pada Majlis Penandatanganan dan Penganugerahan Biasiswa bagi Penerima-penerima Biasiswa Kementerian Pertahanan 2016, hari ini.

Ke arah mencapai matlamat itu, para pelajar diberi peluang menjalani pengajian di institusi-institusi yang terbaik dunia serta menjalani program perkembangan kepimpinan yang bersistematik untuk membentuk keperibadian dan kepimpinan mereka, ulas beliau lagi pada majlis yang berlangsung di Dewan Kuliah, Institut Pengajian Pertahanan dan Strategik Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bolkiah Garison.

Awang Muhammad Shahrul Nizzam juga berkata bahawa pendedahan awal kepada suasana alam pekerjaan dan peluang untuk berinteraksi dengan pegawai dan kakitangan kementerian serta kesedaran terhadap kepentingan negara amnya dan Kementerian Pertahanan khasnya telah memupuk dan mengeratkan lagi rasa kebersamaan mereka dengan warga ABDB dan Kementerian Pertahanan.

Awang Muhammad Shahrul Nizzam menyampaikan kata alu-aluannya pada majlis berkenaan.
Awang Muhammad Shahrul Nizzam menyampaikan kata alu-aluannya pada majlis berkenaan.

“Program perkembangan berlanjutan inilah yang akan memudahkan mereka memulakan kerjaya mereka dengan efektif dan seterusnya mengaplikasikan apa yang telah mereka pelajari di luar negara untuk membantu menerajui perubahan untuk kebaikan dalam meningkatkan lagi pertahanan negara ini dan membawa kepada masa depan pertahanan yang lebih dinamik dan efisien.”

Terdahulu dari itu, Awang Muhammad Shahrul Nizzam menyatakan bahawa dengan pengurniaan biasiswa kepada enam orang penerima bagi 2016, menjadikan jumlah penerima Biasiswa Kementerian Pertahanan sebanyak 106 orang sejak biasiswa itu diperkenalkan pada 2005.

Setakat ini, seramai 49 orang penerima biasiswa telah kembali berkhidmat dan berjaya mengekalkan kecemerlangan dan pencapaian yang tinggi.

Seramai 20 orang daripada jumlah itu telah pun berjaya ditauliahkan sebagai pegawai tentera dalam ABDB, manakala, 29 orang lagi sedang berkhidmat sebagai pegawai awam di pelbagai unit Kementerian Pertahanan.

Beliau berkata bahawa kesemua pegawai berkenaan mempunyai kerjaya yang bukan sahaja mencabar tetapi memberikan sumbangan dan impak secara langsung kepada perkembangan serta pembangunan pertahanan negara melalui jurusan perubatan, kejuruteraan, penyelidikan, sains dan teknologi dan juga pentadbiran.

ARTIKEL YANG SAMA