Prospek ekonomi jangka panjang kekal menggalakkan

Prospek ekonomi jangka panjang kekal menggalakkan

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) – Prospek ekonomi jangka panjang Malaysia kekal menggalakkan berikutan kekukuhan struktur dan kepelbagaian ekonomi walaupun penyemakan semula prospeknya kepada ‘stabil’ daripada ‘positif’, kata Moody’s Investors Service.

Dalam satu nota hari ini, Moody’s berkata, prospek menggalakkan itu disebabkan pembangunan infrastruktur Malaysia yang baik, sumber alam yang banyak, sektor perkhidmatan dan pembuatan di peringkat global yang kompetitif yang akan mendapat manfaat daripada peningkatan hubungan perdagangan negara ini.

“Perubahan prospek mencerminkan kemerosotan pertumbuhan Malaysia dan metrik kredit luaran disebabkan tekanan luaran sejak setahun lalu seperti kejatuhan harga komoditi,” katanya.

Moody’s berkata, harga komoditi yang lebih rendah telah mengurangkan pendapatan kerajaan.

Selain itu, ia melemahkan kedudukan luaran negara dengan pengaliran keluar modal yang banyak, kejatuhan lebihan akaun semasa, penyusutan kadar pertukaran secara mendadak serta kemerosotan rizab.

“Seperti Oman dan Peru, Malaysia mendapat manfaat daripada kenaikan harga komoditi global sejak sedekad seperti minyak sawit, gas asli cecair, petroleum dan produk berkaitan.

“Bagaimanapun, disebabkan oleh kepelbagaiannya, ekonomi Malaysia nampak lebih berdaya tahan kepada kitaran menurun komoditi berbanding negara serantau lain,” katanya.

Moody’s berkata, dalam tempoh dua tahun di antara 2015 dan 2016, ia menjangka pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebenar Malaysia akan mempunyai purata kepada 4.7 peratus, hampir sama dengan purata 4.8 peratus dicatat di antara 2001 dan 2013.

Mengenai industri minyak dan gas, Malaysia telah berusaha mempelbagaikan sumber dengan beralih daripada sektor huluan kepada aktiviti hiliran, termasuk penapisan minyak serta pemprosesan petrokimia, kedua-duanya sedikit sebanyak mendapat manfaat daripada kejatuhan harga minyak.

“Ketika Malaysia terus berusaha meningkatkan hubungan luaran, ekonominya telah diseimbangkan semula ke arah permintaan domestik bagi memacu pertumbuhan ekonomi.

ARTIKEL YANG SAMA