Prospek kadar faedah rendah rangsang mata wang pasaran

Prospek kadar faedah rendah rangsang mata wang pasaran

HONG KONG, 18 Mac (AFP) – Pasaran Asia melanjutkan pemerolehan mereka hari ini disebabkan kesan berlarutan prospek kadar faedah Simpanan Persekutuan yang lebih rendah, namun saham Tokyo merosot tatkala peningkatan yen melumpuhkan pengeksport Jepun.

Keputusan Persekutuan pada Rabu untuk mengurangkan ramalannya untuk kos pinjaman – memetik krisis global dan pertumbuhan lemah – disambut dengan perasaan lega di seluruh lantai perdagangan dewan niaga semalam, dengan saham berpulih dari Asia hingga Amerika.

Ia juga memberikan rangsangan untuk mata wang pasaran membangun dan menyebabkan dolar merosot, yang sebaliknya memberikan satu rangsangan kepada minyak mentah, dengan kedua-dua kontrak utama naik melebihi $40.

Dan trend positif itu berterusan hari ini, dengan kebanyakan pasaran ekuiti dan mata wang membangun meneruskan dengan lebih banyak pemerolehan.

“Pasaran masih menyesuaikan diri selepas dasar Persekutuan yang lebih lembut daripada dijangka,” kata Philip Borkin, ahli ekonomi senior di Auckland di ANZ Bank New Zealand Ltd, dalam satu nota kepada pelanggan.

“Nampaknya penggubal dasar Persekutuan semakin bimbang dengan prospek ekonomi global,” kata beliau, menurut Bloomberg News.

Hong Kong meningkat 0.5 peratus pada tengah hari, Shanghai ditutup 1.7 peratus lebih tinggi dan Sydney memperoleh 0.3 peratus pada akhir perniagaan. Seoul, Singapura, Taipei dan Manila juga menikmati pemerolehan yang sihat.

Bagaimanapun, Tokyo berakhir 1.3 peratus lebih rendah tatkala yen meningkat pada tahap yang belum dilihat sejak 2014 dengan prospek pulangan AS yang rendah dan pertumbuhan global yang suram menjadikan unit Jepun lebih menarik.

Dolar merosot kepada 110.82 yen pada satu tahap di Tokyo hari ini sebelum berpulih kepada 111.30 yen. Namun ia adalah jauh lebih rendah daripada 113.71 yen sebelum pengumuman Persekutuan pada Rabu.