Prospek pertumbuhan ASEAN dijangka berbeza pada 2016 dan 2017

Prospek pertumbuhan ASEAN dijangka berbeza pada 2016 dan 2017

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Prospek pertumbuhan ekonomi ASEAN dijangka berbeza pada 2016 dan 2017 dalam keadaan kelemahan permintaan global, kata Moody’s Investors Service.

Naib Presiden dan Penganalisis Penyelidikan Kanan Moody’s, Rahul Ghosh berkata prospek pertumbuhan ekonomi berorientasikan eksport utama ASEAN, iaitu Singapura, Malaysia dan Thailand, akan kekal lemah berbanding ekonomi yang lebih didorong permintaan domestik seperti Indonesia dan Filipina.

“Singapura, Malaysia dan Thailand terdedah kepada tempoh permintaan lemah global yang berpanjangan menerusi saluran eksport dan permintaan pelaburan yang lemah,” katanya dalam satu kenyataan.

Pertumbuhan eksport merosot di seluruh rantau ini. Bagaimanapun, keseluruhan kesan ekonomi akan berbeza-beza mengikut kepentingan relatif perdagangan kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Menurut Moody’s, jumlah perdagangan – jumlah eksport dan import – menyumbang 346 peratus, 131 peratus dan 130 peratus daripada KDNK masing-masing di Singapura (Aaa stabil), Malaysia (A3 stabil) dan Thailand (Baa1 stabil).

Ini lebih tinggi berbanding 41 peratus yang direkodkan bagi Indonesia (Baa3 stabil) dan 58 peratus bagi Filipina (Baa2 stabil). – Bernama