Proton buka pusat 3S pertama di Chile

Proton buka pusat 3S pertama di Chile

KUALA LUMPUR, 10 Jun – PROTON Holdings Bhd, menerusi kerjasama dengan wakil pengedarnya di Chile, Andes Motor, kini menyediakan perkhidmatan untuk para pelanggannya di sini menerusi pembukaan pusat pameran 3S pertamanya di Santiago.

Pusat 3S iaitu jualan, servis dan alat ganti itu, dibuka serentak dengan pelancaran PROTON Prevé di salah satu pusat beli-belah popular, Plaza Oeste pada 28 Mei lepas.

Kemudahan itu terletak di Irarrazaval, sejauh 15 minit perjalanan dari pusat bandar dan diuruskan oleh Andes Motor yang juga anak syarikat Kaufmann Group, pengedar terkemuka bagi rangkaian pengangkutan seperti bas, trak dan kereta mewah di Chile.

Pengarah Transformasi dan Ketua Jualan Antarabangsa PROTON, Mohd Khalid Yusof berkata pusat 3S berkenaan menyediakan khidmat jualan dan pasca jualan untuk para pelanggan.

“Ia dilengkapi tiga ruang servis di belakang ruang pameran yang boleh diperluaskan lagi, jika perlu.

“Ruang bengkel seluas 350 meter persegi itu pula boleh memuatkan tiga hingga empat kereta bagi tujuan servis pada satu-satu masa selain empat ruang letak kereta untuk para pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Khalid, rangkaian itu dijangka berkembang dengan penambahan model pemanduan sebelah kiri Exora dan Saga dalam masa terdekat.

Selain itu, susulan pelancaran Proton Prevé di Chile, PROTON akan turut memperkenalkan model Exora dan Saga pada November 2016.

Setakat ini, tiga varian PROTON Prevé iaitu Prevé 1.6 Standard MT, Prevé 1.6 Executive MT dan Prevé 1.6 Premium CVT, ditawarkan di pasaran Chile.

Malah, selaras usaha mempromosi model PROTON di Chile, syarikat itu turut menyerahkan sebuah PROTON Exora kepada pihak kedutaan Malaysia di Santiago yang diterima oleh Duta Malaysia ke Chile, Datuk Dr Mohamad Rameez, pada majlis perasmian Pusat Pameran 3S berkenaan. – Bernama