Proton, DRB-Hicom, Suzuki meterai MoU

Proton, DRB-Hicom, Suzuki meterai MoU

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) – PROTON Holdings Bhd, DRB-HICOM Bhd dan Suzuki Motor Corporation dari Jepun, memeterai bersama-sama memorandum persefahaman (MoU) dan perjanjian lesen untuk membentuk kerjasama dan perkongsian strategik jangka panjang.

Janji niaga itu merangkumi empat bahagian utama iaitu produk, teknologi, pekerja dan pasaran, satu kerjasama yang akan membolehkan pengeluar kereta nasional itu memperoleh akses kepada model, platform, komponen powertrain dan teknologi automotif Suzuki.

Suzuki akan menyediakan bantuan teknikal khusus bagi produk dan skop yang dipilih.

“Suzuki memiliki teknologi dan kepakaran tinggi dalam menghasilkan segmen enjin lebih kecil terutamanya dalam kategori segmen A dan B yang akan melengkapkan Pelan Produk Jangka Panjang PROTON.

“Kerjasama itu akan memberikan peluang kepada kita untuk memanfaatkan kekuatan antara satu sama lain yang akan membawa kepada potensi maksimum kuantiti, pengurangan masa pembangunan dan mempercepatkan masa-kepasaran bagi kedua-dua syarikat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Datuk Abdul Harith Abdullah.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, hari ini, beliau berkata janji niaga itu boleh membantu PROTON memenuhi keperluan kawal selia dan pasaran di samping dapat mengurangkan dengan banyak kos penyelidikan dan pembangunan dan pengeluaran.

Memanfaatkan operasi Suzuki di seluruh dunia, Harith berkata ia akan menyediakan peluang kepada PROTON untuk berkembang di peringkat antarabangsa.

“Fasa pertama projek itu dijadualkan memulakan pengeluaran dalam tempoh 16 bulan akan datang dan pengeluaran akan dibuat di kilang PROTON Tanjung Malim,” katanya.

Rasionalisasi janji niaga itu dijangka selesai dalam tempoh setahun selepas permeteraian.

Proton yang ditubuhkan pada 1983, merupakan anak syarikat milik penuh PROTON DRB-HICOM dan pengeluar automobil terbesar Malaysia, dan satu-satunya pengeluar kereta yang mengeluarkan peralatan asli menyeluruh di Asia Tenggara.

ARTIKEL YANG SAMA