Proton hadapi pelbagai cabaran

KUALA LUMPUR, 13 Feb – Kerajaan bimbang terhadap pelbagai cabaran yang dihadapi pengedar dan vendor Proton Holdings Bhd, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

“Pihak saya buat masa ini sedang mengumpul maklumat dan saya bercadang untuk berjumpa mereka dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita pada pelancaran Y-Biz Challenge 2018 SME Bank dan MySMEBank System Application Online di sini, hari ini.

Mustapa berkata demikian ketika ditanya sama ada insentif khas akan disediakan untuk membantu pengedar Proton menaik taraf perniagaan mereka.

Semalam, Proton menggesa pengedarnya untuk menaik taraf pusat jualan mereka untuk mengintegrasikan jualan, perkhidmatan dan alat ganti .

Datuk Seri Mustapa Mohamed (kiri, dua) ketika mendengar penerangan mengenai perkembangan pembinaan Hospital Kuala Krai di Mukim Kuala Krai , Ahad lalu. Beliau mengatakan kebimbangan kerajaan terhadap pelbagai cabaran yang dihadapi oleh pengedar dan vendor Proton Holdings Bhd, hari ini. – Bernama

Ia bertujuan antara lain meningkatkan rangkaian pengedar dan meningkatkan kepuasan pelanggan menerusi pengalaman jualan dan perkhidmatan yang lebih baik.

Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) baru-baru ini mendakwa yang Proton, di bawah pengurusan baru telah menyimpang daripada objektif asalnya untuk mempromosikan agenda Bumiputera.

Proton berkata, rakan strategik asing adalah penting untuk memulihkan kedudukan sebagai peneraju dalam pasaran kereta Malaysia dan mengembangkan jenama di dalam dan luar negara, yang menjadi penggerak utama bagi rancangan perniagaan syarikat itu pada masa depan. – Bernama