Proton kekal pertumbuhan kukuh

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton), terus mengekalkan pertumbuhan prestasi jualannya yang kukuh setakat ini, tahun ini.

Sehingga 30 November 2017, Proton menjual 66,190 unit kenderaan atau pertumbuhan dua peratus berbanding 65,069 pada tempoh yang sama tahun lepas, didorong oleh model Saga dan Persona.

Dalam satu kenyataan di sini, hari ini, pengeluar kereta nasional itu berkata, kedua-dua model berkenaan terus menerajui model syarikat lain, masing-masing sebanyak 28,368 dan 18,113 unit, yang dijual setiap tahun, menjadikan 70 peratus daripada jumlah jualan kereta Proton,

Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Proton Abdul Rashid Musa berkata ia merupakan satu perjalanan yang mencabar buat syarikat itu sejak lima tahun lepas, dengan pertumbuhan yang mantap sejak Januari hingga November 2017, merupakan pencapaian positif bagi Proton.

“Kami akan terus berusaha lebih gigih untuk beberapa bulan akan datang, dan berharap pelanggan akan memanfaatkan tawaran hebat akhir tahun untuk kereta Proton,” katanya.

Beliau berkata pertumbuhan dilihat berdasarkan penambahbaikkan kualiti semasa yang sedang dilaksanakan di peringkat dalaman.

“Bersama rakan kongsi kami, Proton telah meningkatkan proses penambahbaikan kualiti dan usaha, menerusi perkongsian ilmu dan kemahiran luar biasa, selain peluang untuk pasukan tempatan dilatih di Zhejiang Geely Holding Group Co Lt di China.

“Kemajuan semakin positif memandangkan Proton sudah pun memiliki produk yang baik dan tahan lasak. Kami akan terus berusaha memperbaiki lagi kereta dan berharap dapat melakukan yang terbaik dalam meningkatkan kepuasan pelanggan,” katanya. – Bernama