Proton kekalkan harga kereta biarpun ringgit susut

Proton kekalkan harga kereta biarpun ringgit susut

SHAH ALAM, 4 Okt (Bernama) – Proton Holdings Bhd hari ini memberi jaminan mengekalkan harga jualan semasa keretanya biarpun berdepan peningkatan kos bahan mentah import akibat penyusutan ringgit.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pada masa ini, pengeluar kereta nasional itu perlu menjual kenderaannya pada harga yang ditetapkan kerajaan.

“Berikutan penurunan tukaran asing, kos bahan mentah import itu juga meningkat. Namun kami masih cuba untuk mengekalkan harga (kereta Proton),” katanya kepada wartawan selepas merasmikan Karnival Alami Proton 2015 di Pusat Kecemerlangan Proton di sini, semalam.

Selain itu, bekas Perdana Menteri itu berkata Proton merancang untuk mengeksport kereta elektrik Proton Iriz yang dikatakan mampu bergerak sejauh 300 kilometer bagi sekali pengecasan, ke pasaran Eropah.

Pada masa sama, Proton juga akan memastikan kesemua kereta keluarannya pada masa depan akan menepati standard pelepasan karbon Euro 5, kata Dr Mahathir.

Tun Dr Mahathir merangkap Pengerusi PROTON melawat bilik pameran selepas merasmikan Karnival Alami PROTON 2015 di Pusat Kecemerlangan PROTON hari ini. – Bernama
Tun Dr Mahathir merangkap Pengerusi PROTON melawat bilik pameran selepas merasmikan Karnival Alami PROTON 2015 di Pusat Kecemerlangan PROTON hari ini. – Bernama

“Kami telah mencadangkan untuk mengeluarkan kereta ini (Proton Iriz) ke Eropah dan tidak perlu membayar denda kerana ia cekap (tenaga),” katanya.

Mengulas ulang tahun ke-30 Proton tahun ini sejak diwujudkan pada 1985, Dr Mahathir berkata syarikat itu berazam mengubah persepsi orang ramai bahawa ia mengeluarkan kereta berkualiti rendah.

Jelasnya, Proton yang memulakan operasi dengan hanya menghasilkan kereta mekanikal kini ternyata mampu mengeluarkan kenderaan jenis elektrik yang menepati piawaian antarabangsa

“Malah, Proton sentiasa mengutamakan ciri-ciri keselamatan dengan memperkenalkan kereta dilengkapi enam beg udara.

“Proton kini dilihat sebagai pemangkin bagi mempertingkatkan keupayaan kejuruteraan Malaysia,” katanya.

Menurutnya, pengeluar kereta nasional itu akan kekal gigih bagi mengharungi cabaran industri automotif itu.

Selain itu, sejajar perancangan masa depan, Dr Mahathir berkata, Proton akan mempertingkatkan prestasi varian keretanya tanpa perlu menukar nama sedia ada.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Abdul Harith Abdullah, berkata pihaknya akan memperkenalkan varian baharu Proton Perdana pada suku pertama tahun depan.

ARTIKEL YANG SAMA