PROTON lancar varian saga terbaharu

PROTON lancar varian saga terbaharu

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) – PROTON Holdings Bhd hari ini melancarkan varian terbaharu Saga iaitu Saga Plus bagi menggantikan edisi Saga SV yang berada di pasaran sekarang.

Kereta sedan yang boleh dilihat di semua bilik pameran PROTON mulai esok, dilengkapi lima ciri-ciri tambahan tanpa caj tambahan, sekaligus menjadikannya amat berbaloi untuk dimiliki, kata PROTON dalam satu kenyataan hari ini.

Malah, dengan kehadiran Saga Plus, PROTON akan mengecilkan varian Saga dengan menamatkan pengeluaran varian Eksekutif dan SE.

“Saga Plus didatangkan dengan lima perubahan luaran iaitu rim aloi 14 inci, kit badan penuh, spoiler, tanda gred ‘Plus’ dan warna hiasan belakang,” katanya.

Ketua Eksekutif PROTON, Datuk Abdul Harith Abdullah, berkata penggunaan perkataan ‘Plus’ itu juga bagi memaparkan ciri-ciri tambahan model Saga SV sedia ada berkenaan.

“Model itu memaparkan aspek luaran varian Saga Executive namun mengekalkan lingkungan harga SV. Ini bermakna tiada sebarang peningkatan harga biarpun memiliki kereta yang ciri-cirinya dipertingkatkan,” katanya.

Abdul Harith berkata, rekaan Saga Plus itu tidak hanya menarik untuk kalangan yang berkeluarga kecil, tetapi juga golongan belia dan eksekutif muda yang baharu saja melangkah ke dunia pekerjaan.

“PROTON yakin Saga Plus itu akan terus menjadi tarikan untuk pembeli yang mencari kenderaan jenis sedan dan berbaloi untuk wang serta menepati kehendak mereka,” katanya.

Saga Plus yang berkuasa enjin Campro IAFM 1.3 liter, didatangkan dalam jenis transmisi manual dan CVT manakala harganya serendah RM33,242 hingga RM36,576 seunit.

ARTIKEL YANG SAMA