Proton masuk semula pasaran Chile selepas 18 tahun

Proton masuk semula pasaran Chile selepas 18 tahun

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) – Proton Holdings Bhd memasuki semula pasaran Chile dengan kereta Preve pemanduan sebelah kiri selepas eksport terakhirnya Proton Wira pada 1998.

Pengeluar kereta nasional itu dalam satu kenyataan hari ini berkata kumpulan pertama 50 kereta Proton Preve, daripada sejumlah 1,000 unit yang dijangka dieksport ke Chile tahun ini, akan dihantar ke San Antonio.

“Kereta Proton akan dijual oleh Andes Motor, unit Kaufmann Group, pengedar bagi Chile yang memeterai perjanjian pengedar dengan Proton pada 1 Julai, 2015,” kata syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Datuk Abdul Harith Abdullah berkata rancangan untuk mengeksport ke Chile bermula apabila Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Chile dimeterai pada 25 Februari 2012.

“Proton menikmati pengecualian duti import enam peratus dan kami berterima kasih kepada kerajaan Malaysia atas inisiatif perdagangan ini yang membolehkan kami mengenal pasti pasaran berdaya maju bagi kereta pemanduan sebelah kiri daripada kami,” katanya.

Selain Preve, dua model lain, iaitu Exora dan Saga juga akan dipasarkan di bandar raya utama Chile iaitu Santiago, Concepcion Vina La Serena, Antofagasta dan Valdivia Temuco Osorno.

“Kami teruja untuk memasuki semula pasaran Chile selepas menjual hampir 3,000 kereta dari 1994 hingga 1998,” katanya sambil menambah rakan kongsi Proton, Kaufmann Group, merupakan pengedar utama bas, trak, kereta mewah dengan rangkaian meluas wakil pengedar dan perkhidmatan selepas jualan.

Abdul Harith berkata Proton yakin ini merupakan permulaan kepada lebih banyak peluang untuk penerokaan ke pasaran global, terutamanya selepas ia menyudahkan program enjin baharunya bagi memenuhi peraturan lebih ketat negara-negara Eropah.

“Kami akan terus membina kereta yang baik dan melaksanakan penambahbaikan produk agar kami bukan sahaja mencatatkan prestasi lebih baik di pasaran tempatan tetapi juga pasaran global,” katanya. Pelancaran jualan Preve dan Exora di Chile dijangka pada Mei 2016 diikuti Saga pada November 2016.

ARTIKEL YANG SAMA