Proton Perdana titik perubahan

Proton Perdana titik perubahan

PUTRAJAYA, 14 Jun – Pelancaran Proton Perdana baharu, sedan eksekutif terkini oleh Proton Holdings Bhd (Proton), terbukti menjadi titik perubahan kepada pembuat kereta nasional itu, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata pelancaran itu juga membuktikan kesungguhan kerajaan untuk mengembalikan kegemilangan Proton ke landasan kejayaan bagi menjana lebih banyak keuntungan dan memberi manfaat kepada negara.

Beliau berkata Proton boleh membuktikan bahawa ia merupakan penggiat yang serius dalam industri automotif, dan akan terus memain peranan utama dalam pembangunan bakat, vendor dan usahawan tempatan.

“Saya harap pelancaran Perdana baharu ini akan menjadi titik perubahan untuk Proton, dan akan membawa manfaat kepada ekonomi negara dan rakyat.

“Saya yakin Proton akan terus melakukan inovasi dan membuat penambahbaikan, menghasilkan kereta untuk rakyat Malaysia dan pelanggan di luar negara,” katanya pada pelancaran generasi keempat Proton Perdana di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melancarkan Proton Perdana generasi keempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya semalam. – Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melancarkan Proton Perdana generasi keempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya semalam. – Bernama

Najib yang juga Menteri Kewangan bagaimanapun berkata Proton tidak berada pada kedudukan seperti yang sepatutnya, kurang penyelidikan yang tepat dan keupayaan pembangunan selain skala pengeluaran yang diperlukan untuk kekal kompetitif.

“Ada masanya ada sifat angkuh – bahawa Proton boleh buat apa sahaja kerana kerajaan akan sentiasa menyokongnya. Dua kilang dibangunkan (Tanjong Malim dan Shah Alam), yang berkeupayaan mengeluarkan 400,000 unit setahun.

“Namun, tahun lepas Proton hanya menjual 102,000 kereta,” katanya dan menambah penguasaan dalam pasaran automotif negara hanya kira-kira 15 peratus berbanding 74 peratus semasa kemuncaknya pada 1993.

Setakat ini kata Najib kerajaan sudah menyalurkan geran hampir RM14 bilion, pelbagai bentuk bantuan dan cukai ke atas Proton sejak ditubuhkan pada 1993.

Pada April, beliau berkata kerajaan meluluskan pinjaman mudah RM1.5 bilion kepada Proton Holdings, tertakluk kepada beberapa syarat yang mesti dipenuhi oleh pembuat kereta nasional itu.

Najib berkata kerajaan mahu melihat Proton kembali berjaya dan atas sebab itu syarikat itu dibantu oleh Pasukan Petugas Khas yang baru dibentuk.

Pasukan petugas khas yang dike-tuai Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu Datuk Seri Idris Jala, akan mengenal pasti rakan strategik asing dan memantau proses pemulihan Proton.

ARTIKEL YANG SAMA