Proton, Petronas bekerjasama sedia minyak Syntium bagi kereta Proton

Proton, Petronas bekerjasama sedia minyak Syntium bagi kereta Proton

SHAH ALAM, 11 Nov – Proton Holdings Bhd, secara bekerjasama dengan Petronas, hari ini melancarkan rangkaian eksklusif minyak enjin Petronas Syntium SE bagi kereta Proton.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata kerjasama itu akan membolehkan pelanggan Proton menikmati prestasi kereta yang lebih baik dan kos penyenggaraan rendah.

“Pemilik Proton boleh berjimat sehingga 20 peratus bagi minyak enjin di mana-mana cawangan Proton Edar yang sah,” katanya pada majlis pelancaran produk jenama bersama Proton-Petronas itu, di sini, hari ini.

Minyak Petronas Syntium SE didatangkan dengan tiga gred – sintetik sepenuhnya (Syntium 3000 SE 5W-30), separa sintetik (Syntium 800 SE 10W-30) dan berasaskan mineral (Syntium 500 SE 15W-40).

Datuk Ahmad Fuaad Kenali (tiga kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Lubricants Marketing (M), Zubair Abdul Razak (tiga, kanan) melancarkan minyak enjin PETRONAS Syntium SE baharu dan eksklusif untuk PROTON di Pusat Kecemerlangan PROTON kelmarin. - Bernama
Datuk Ahmad Fuaad Kenali (tiga kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Lubricants Marketing (M), Zubair Abdul Razak (tiga, kanan) melancarkan minyak enjin PETRONAS Syntium SE baharu dan eksklusif untuk PROTON di Pusat Kecemerlangan PROTON kelmarin. – Bernama

Ahmad Fuaad berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha Proton untuk menyediakan khidmat pelanggan yang lebih baik dan mengurangkan kos pemilikan bagi tempoh jangka panjang.

“Proton juga menyelaraskan harga alat-alat gantinya bagi lebih 600 barangan dalam semakan harganya baru-baru ini untuk menjadikan ia lebih kompetitif dan menyediakan nilai yang lebih baik.

“Peningkatan perkhidmatan lain termasuk menambah bilangan pusat servis ‘tujuh hari seminggu’ kami daripada 23 buah kepada 27 buah pada akhir tahun bagi menampung permintaan yang semakin meningkat untuk servis kereta,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA